Wednesday, April 15, 2015

Sejauh mana keberkesanan Akademi Bola Sepak di Malaysia?

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Inisiatif penubuhan akademi bola sepak di Malaysia bertujuan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi, namun wujud kebimbangan ia sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata.

Penubuhan akademi yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan kini menjadi persoalan sejauh mana bakat muda yang dilahirkan dapat membantu imej bola sepak negara yang semakin tercalar.

Ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan skuad negara berada di tangga ke-164 iaitu di bawah pasukan Bhutan dan Bangladesh.

Kebimbangan itu dilahirkan bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew yang mempersoalkan objektif penubuhan akademi bola sepak yang menggunakan nama kelab-kelab ternama dari Eropah itu.

"Sebenarnya saya nak tahu apa tujuan individu yang tubuhkan akademi? Adakah mereka hendak melahirkan seseorang pemain yang akan menyarung jersi kebangsaan untuk menolong negara satu hari nanti atau sebagai perniagaan...dah banyak akademi yang dimulakan, terutamanya di sekitar Kuala lumpur.

"Kita kena tengok, katakan akademi itu telah dimulakan 10 tahun lalu, ke manakah pemainnya sekarang, adakah mereka berada dalam pasukan kebangsaan atau pasukan liga? Kena ingat balik, buat kajian...kalau ada, bergunalah," katanya.

Lim berkata demikian ketika menjadi panel dalam program 'Ruang Bicara' di Bernama TV, yang membincangkan topik 'Hala Tuju Bola Sepak Malaysia', semalam.

Turut menjadi panel program selama sejam yang dihos Sherkawi Jirim ialah bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.

Lim, 36, yang pernah menyarung jersi kebangsaan dari tahun 1999 hingga 2005, turut resah ekoran prestasi hambar skuad negara khususnya pada pertemuan peringkat antarabangsa, terkini Malaysia tewas kepada Oman 6-0.

Mengulas mengenai keperluan mendapatkan khidmat jurulatih luar negara, Lim yang pernah menjalani latihan bersama pasukan liga divisyen dua Inggeris, Bournemouth FC berkata ia bergantung kepada kesiapsiagaan mentaliti pemain dan pengurusan pasukan untuk berubah.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata sekiranya ia tidak direalisasikan, matlamat untuk meletakkan sesebuah pasukan bola sepak di tempat tertinggi hanya sekadar 'angan-angan Mat Jenin'.

"Bawalah Alex Ferguson sekali pun, tetapi bila dia datang sini, dia kena menyesuaikan diri dengan budaya kita. Katakan dia bertegas dengan orang atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melakukan perubahan contohnya dari segi makanan, adakah orang Malaysia akan bersetuju?

"Ia seumpama bawa pasukan Malaysia ke luar negara untuk latihan, seperti yang Malaysia suka buat. Tapi bila pergi sana, jurulatihnya masih orang yang sama, jadi kita buat perkara sama, yang kita buat di sini, kita pergi ke sana hanya untuk adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan di sana," katanya.

Lim yang pernah beraksi untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan berkata apabila di luar negara, pemain tempatan harus juga mempelajari perkara yang dilakukan di luar padang selain pertandingan seperti cara latihan, pemakanan, apa yang dibuat sebelum dan selepas sesuatu perlawanan.

Sementara itu, Azman yang pernah membuat liputan perlawanan melibatkan pasukan Malaysia menentang dua negara Asia seperti Jepun dan Korea sekitar tahun 70-an dan 80-an berkata, FAM perlu mengkaji semula program pencungkilan bakat baharu bola sepak yang perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa membataskan kawasan pencarian.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment