Tuesday, April 07, 2015

"Sabtu ini detik penting buat saya" - Chong Wei


SEPANG, 7 April (Bernama) -- Penentuan karier jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dijangka terjawab Sabtu ini.

Beliau bakal berhadapan panel pendengaran di Belanda berhubung dakwaan mengambil bahan terlarang 'dexamethasone'.

Beliau pagi tadi berlepas ke London untuk bertemu peguamnya Mike Morgan sebelum ke Amsterdam.

Turut serta Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh serta Anggota Majlis BAM Jadadish Chandra.

Isterinya Datin Wong Mew Choo serta anak mereka Kingston Lee turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar pemergiannya.

Memberitahu pemberita sebelum berlepas, Chong Wei optimis panel tersebut akan melihat secara holistik kes berkenaan.

"Ini adalah detik penting untuk saya. Saya harap semua pihak akan terus memberi sokongan kepada saya. Saya harap perkara ini akan selesai secepat mungkin.

"Saya berterima kasih kepada penyokong saya. Mungkin keputusan akan diketahui Sabtu ini atau seminggu selepas perbicaraan. Saya akan kemaskini keputusan tersebut dalam Facebook nanti," katanya.

Ketiadaan beliau pada Terbuka Malaysia minggu lepas ternyata membawa kesuraman kepada kejohanan berprestij itu.

Chong Wei kini digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setelah gagal ujian doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen pada Ogos tahun lalu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment