Wednesday, April 08, 2015

Pusat Logistik Sukan SEA Ke-28 Dibuka Secara Rasmi

SINGAPURA, 7 April (Bernama) -- Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Tengara Singapura (SINGSOC) hari ini mengadakan majlis perasmian Pusat Logistik SINGSOC (SLC) yang akan menjadi tempat sokongan logistik dan gudang utama untuk Sukan SEA ke-28.

SLC menyediakan ruang pergudangan bulanan seluas 17,000 kaki persegi dan ruang simpanan untuk 11,000 palet bagi tempoh lebih 12 bulan.

Ia akan mengendalikan sehingga 53,000kg kargo udara dan 1,350 meter padu kargo laut.

Antara barangan yang ditempatkan di SLC termasuklah peralatan sukan seperti rak basikal, meja ping pong serta bola dan alas untuk sukan tempur.

SLC juga menempatkan bekalan seperti 31,000 paket makanan ringan dan dua juta liter minuman.

Equipment Factory yang terletak di tapak yang sama merupakan tempat konfigurasi dan ujian untuk 3,000 komputer riba dan peranti dijalankan sebelum ia diagihkan ke pusat-pusat acara sukan berlangsung.

SLC terletak di dalam kawasan premis penyedia perkhidmatan logistik terbesar Singapura, CWT Ltd yang dilantik sebagai Penyedia Perkhidmatan Logistik untuk temasya sukan ini.

CWT juga menyediakan sepenuhnya rantaian pengurusan bekalan dan khidmat sokongan logistik termasuk tenaga kerja dan pengangkutan.

Bercakap semasa pembukaan pusat logistik, pengerusi exco SINGSOC Lim Teck Yin berkata: "Pusat Logistik SINGSOC adalah tulang belakang kepada operasi Sukan. Semua dalam satu, Pusat untuk simpanan, pengurusan dan pengangkutan 1,642 tan peralatan sukan, pemadanan dan bekalan am.

Berbekalan kepakaran CWT dan rekod dalam logistik, kami yakin dengan kecekapan dan keselamatan rantaian pengurusan bekalan. Perkongsian ini merupakan asas kepada kejayaan Sukan ini," katanya.

Sukan SEA ke-28 akan diadakan pada 5 hingga 16 Jun ini dengan Singapore Sports Hub akan menjadi tempat utama temasya ini.

Dianjurkan oleh SINGSOC, sukan ini juga diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Singapura, yang akan menjadi tuan rumah kepada lebih 7,000 atlet dan pegawai yang bertanding dalam 36 jenis sukan.

No comments:

Post a Comment