Thursday, April 09, 2015

Posisi Bek Kanan Menanti Matthew Davies Jika Prestasi Memberangsangkan - Kim Swee

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pemain baharu Pahang, Matthew Davies berpeluang mengisi posisi bek kanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk menghadapi saingan pada Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

Jurulatih B-23 negara Datuk Ong Kim Swee berkata beliau akan menilai prestasi pemain kelahiran Australia berusia 20 tahun itu, yang akan membuat penampilan sulung bersama skuad Tok Gajah pada Sabtu ini.

"Setahu saya Matt Davies bermain dengan pasukan Perth Glory dan mempunyai 16 penampilan. Kalau tunjuk prestasi yang baik, ia akan menguntungkan pasukan Bawah 23 dan pasukan negara pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas pelancaran web portal dan buku panduan Sukan SEA Singapura 2015, di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Kim Swee berkata pada masa ini, skuad bimbingannya mempunyai dua pemain beraksi di benteng pertahanan kanan iaitu Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Che Rashid Che Halim, yang disenaraikan untuk menjalani latihan skuad B-23.

"Kita ada Ariff Farhan dan Che Rashid untuk posisi itu dan kehadiran Matt Davies mungkin boleh beri impak kepada pasukan untuk memperkuatkan barisan pertahanan," katanya.

Semalam, pasukan Pahang memperkenalkan Davies sebagai pemain baharu untuk memantapkan lagi skuad berkenaan dalam saingan Liga Malaysia.

Davies yang mendapat kerakyatan Malaysia minggu lepas, merupakan pemain berdarah campuran Australia-Sabah.

Bapanya merupakan warganegara Australia, manakala ibunya berasal dari Sabah.

Ini membolehkan beliau mendapat kerakyatan negara ini dan memiliki status pemain tempatan seperti Brendan Gan (Kelantan) dan Junior Eldstal (JDT I).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment