Wednesday, April 22, 2015

Persidangan Antarabangsa Perubatan dan Sains Sukan menepati pendekatan sukan prestasi tinggi - Khairy

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Penganjuran Persidangan Antarabangsa Perubatan Sukan dan Sains Sukan ke-6 adalah selaras dengan usaha pendekatan sukan prestasi tinggi yang diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata persidangan itu bersesuaian dengan transformasi Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam membentuk program podium yang banyak bersandarkan kepada sains dan perubatan sukan.

"Kali ini kami telah berjaya himpunkan pakar dalam perubatan dan sains sukan bukan sahaja dari Malaysia tapi dari seluruh dunia untuk datang selama seminggu kongsi pengalaman dan hasil penyelidikan mereka.

"Saya harap kita dapat ambil pengalaman pakar sukan dari seluruh dunia ini dan manfaatkan dalam model sukan baharu," katanya selepas merasmikan persidangan anjuran ISN itu di sini malam ini.

Persidangan yang bermula pada Isnin itu bertujuan memberi pendedahan dan makluman terkini dengan lebih meluas kepada pengamal-pengamal bidang sains perubatan dan sains sukan.

Di samping itu, ia memberi peluang kepada peserta dari pelbagai negara untuk menjalinkan jaringan kerjasama demi kecemerlangan penyelidikan sukan.

Sebanyak 33 orang penceramah dari dalam dan luar negara terlibat, termasuk 470 peserta yang juga merupakan jurulatih, pentadbir, pengurus, anggota persatuan sukan, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), universiti dan badan bukan kerajaan (NGO).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment