Thursday, April 09, 2015

MSN Kenal Pasti Lokasi Sesuai Anjur Kem Latihan Pusat Akhir

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk mengadakan kem latihan pusat terakhir sebelum kontinjen Sukan SEA negara berlepas ke Singapura pada Jun ini.

Ketua kontinjen negara ke temasya itu Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata lokasi itu harus mampu menampung 876 pegawai dan atlet selain memudahkan atlet menjalani latihan.

Beliau telah meminta MSN mengenal pasti dua atau tiga tempat yang sesuai untuk dicadangkan pada mesyuarat Sekretariat Sukan SEA minggu depan.

"Setelah mendapat input dan maklum balas daripada pengurus pasukan, kita ambil keputusan untuk menukar kem terakhir dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur.



"Ada cadangan buat di Shah Alam, tetapi bagi saya bila hendak ke Kuala Lumpur, ia perlulah memudahkan atlet untuk sampai ke tempat latihan mereka. Kita akan ketahui keputusan (mengenai lokasi ini) mungkin dalam minggu depan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan Permanis Sandilands Sdn Bhd dan Curtin University Sarawak di sini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza turut meminta setiap atlet supaya lebih awal mempersiap diri dengan semangat kenegaraan dan semangat sepasukan, dan bukannya hanya ketika menyertai kem latihan pusat terakhir.

"Kita mungkin berpuas hati dengan atlet yang adakan persiapan masing-masing tetapi hakikatnya, bagaimana kita hendak letakkan mereka sebagai famili dalam kontinjen negara. Saya tidak mahu perasaan individualistik, saya mahu semangat kekeluargaan.

"Sebelum kem terakhir, saya mahu mereka sendiri (atlet) untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Itulah sikap yang kita hendak utamakan," katanya.

Berhubung pergerakan kontinjen ke Singapura, Norza berkata atlet akan berlepas ke Singapura dari Kuala Lumpur secara berperingkat berdasarkan acara sukan yang disertai mereka.

Kem latihan itu dijadualkan pada 22 hingga 24 Mei ini sebagai persediaan terakhir atlet negara membentuk semangat perjuangan sebelum bertanding pada temasya dwitahunan di negara jira itu dari 6 hingga 16 Jun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment