Monday, April 06, 2015

M'sia Mula Langkah Sumbang, Tewas 2-4 Kepada New Zealand

IPOH, 5 April (Bernama) -- Malaysia memulakan cabaran pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 dengan langkah sumbang apabila tumpas 2-4 kepada New Zealand di Stadium Sultan Azlan Shah, di sini malam ini.

Kerapuhan benteng pertahanan skuad negara nyata terserlah sejak dari awal permainan, membolehkan pasukan lawan berjaya berada di hadapan pada minit ke-3 menerusi jaringan Nick Haig.

Selang dua minit, gawang skuad Malaysia sekali lagi dibolosi apabila penjaga gol negara S. Kumar gagal menghalang pukulan ketua pasukan New Zealand Simon Child.

Ketinggalan dua gol, skuad Malaysia yang dibimbing Tan Beng Hai menggandakan asakan dan berjaya merapatkan jurang hasil jaringan Muhammad Ramadan Rosli pada minit ke-19.

Malaysia yang menyasarkan kejuaraan sulung sejak edisi pertama pada 1983, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi jaringan Mohd Shahrun Nabil Abdullah.

Kedudukan itu, bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Andy Hayward menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-55, sebelum Shay Neal melengkapkan kemenangan bergaya New Zealand, dua minit kemudian.

Pada perlawanan pembuka tirai yang berlangsung di venue sama petang tadi, juara bertahan Australia menampilkan aksi bertenaga dengan membelasah Kanada 7-0.

Sementara, India dan Korea Selatan seri 2-2.

Jadual Esok:

Kanada lwn Korea Selatan - 4.10 petang

New Zealand lwn India

- 6.10 petang

Australia lwn MALAYSIA

- 8.10 malam



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment