Tuesday, April 28, 2015

Masa kini musuh Chong Wei


KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei perlu segera bekerja keras dengan melayakkan diri sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam empat atau lima kejohanan bertaraf Grand Prix untuk memperbaiki ranking dan mengumpul mata kelayakan Sukan ke Olimpik 2016.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, bekas pemain No.1 dunia itu perlu memberi tum­puan penuh kepada setiap kejohanan yang akan disertai kerana bermula 4 Mei ini, proses mengumpul mata Olimpik Rio akan bermula dan dia sudah jauh ketinggalan.

Bagaimanapun, dia membe­ritahu, pemain berusia 33 tahun itu sudah pasti tidak dapat menyertai semua kejohanan kerana segala-galanya bergantung kepada kea­daan fizikal, selain dirinya yang semakin berusia.

“Buat masa ini kami belum membuat sebarang perancangan khusus terhadap kejohanan yang bakal di­sertainya tetapi apa yang pasti dia akan menyertai skuad kebangsaan ke Piala Sudirman dan berkemungkinan juga akan ke Sukan SEA.

“Chong Wei sudah kehilangan banyak mata, jadi selepas ini dia akan menyertai antara empat atau lima kejohanan Grand Prix dan perlu sekurang-kurangnya ke separuh akhir untuk segera memperbaiki ranking.

“Selepas rankingnya sudah semakin stabil dalam kelompok 20 atau 10 pemain terbaik, baru boleh rancang untuk menyertai kejohanan bertaraf Siri Super dan Siri Super Premier,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan keputusan, Chong Wei dikenakan penggantungan lapan bulan atas kesalahan menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

Meskipun sebelum ini pemain kelahiran Bagan Serai, Perak itu mula menjalani proses penggantungan sementara bermula 1 November lalu namun BWF memutuskan proses penggantungannya bermula dari tarikh sampel air kencingnya diambil iaitu pada 30 Ogos 2014 dan berakhir pada 30 April ini.

Sementara itu, Hendrawan memberitahu, pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu belum pasti dapat beraksi pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Jakarta, Ogos ini bergantung kepada ranking semasa.

“Sekiranya dikira mengikut ranking sekarang, dia masih layak untuk beraksi tetapi sekiranya di­ikutkan kepada ranking selepas ini, saya tidak pasti.

“Dia sudah banyak kehilangan mata akibat lama tidak beraksi dalam kejohanan,” katanya.
Pemain yang layak beraksi dalam Kejohanan Dunia ditentukan menerusi ranking BWF bertarikh 30 April ini. 

Bagaimanapun, senarai rasmi pemain yang akan beraksi pada kejohanan di Jakarta itu akan diumumkan pada keesokan hari.
Setakat ranking 23 April lalu, Chong Wei berada di ranking ke-30 dunia. 



NOR AZAN FITRI AHAMD HIDZIR - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment