Friday, April 10, 2015

Masa depan Lee Chong Wei diketahui esok


KUALA LUMPUR: Isu kontroversi membabitkan jaguh badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei akhirnya dijangka terjawab esok.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menyatakan bahawa pihaknya sudah bersedia dan berharap keputusan pendengaran kes doping jaguh negara itu mencapai keputusan yang positif.
Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, persediaan yang rapi telah dilakukan dengan menyediakan pasukan pembelaan yang amat intelektual dan terkenal dalam mengendalikan kes tersebut.

“Kita telah menyediakan pasukan pembelaan yang diketuai oleh peguam Mike Morgan yang berpengalaman menguruskan kes berprofil tinggi, berpengkalan di London.

“Menjalankan persedian bersama pakar dalam bidang sukan dan dibantu oleh peguam-peguam.
"Pada satu tahap, kita sudah bersedia untuk mendapat keputusan yang baik untuk Lee Chong Wei,” katanya ketika sesi temubual menerusi telefon dalam program Malaysia Hari Ini di TV3, hari ini.

Kata Mohamad Norza , beliau yakin dengan segala bukti yang telah dikumpulkan oleh pihak peguam, suatu keputusan yang positif akan berpihak kepada Chong Wei.

“Seperti yang dikatakan selalu, saya tidak mahu bersikap subjudis terhadap kes pendengaran tersebut.
“Saya yakin persediaan telah dilakukan dengan baik dan berharap keputusan berpihak kepada Chong Wei,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia, khususnya peminat Chong Wei mendoakan agar keputusan kes pendengaran doping berkenaan mencapai keputusan yang mengembirakan semua pihak.

Chong Wei sebelum ini didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone ketika beraksi semasa Kejohanan Dunia, Copenhagen di Denmark, Ogos tahun lalu.
Beliau kini digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas gagal dalam ujian anti doping berkenaan.


- mD

No comments:

Post a Comment