Friday, April 10, 2015

Malaysia Kecundang 2-3 Di Tangan Korea Selatan

IPOH, 9 April (Bernama) -- Skuad hoki negara gagal meneruskan aksi bertenaga pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 apabila tumpas 2-3 kepada Korea Selatan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, di sini malam ini.

Selepas menampilkan aksi memberangsangkan ketika menewaskan India 3-2 semalam, skuad kendalian Tai Beng Hai itu, mudah hilang tumpuan pada perlawanan hari ini.

Seawal minit ketiga, skuad negara sudah ketinggalan hasil jaringan Lee Jung Jun, sebelum Lee Namyong menjaringkan gol kedua Korea Selatan untuk menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar menerusi jaringan padang pada minit ke-29.

Hanya pada suku ketiga permainan menyaksikan Malaysia bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Faizal Saari pada minit ke-32 diikuti kapten pasukan Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-34.

Kegembiraan skuad negara, bagaimanapun tidak bertahan lama apabila selang seminit kemudian, anak buah Shin Seok Kyo terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan skuad negara dengan meledak gol ketiga Korea Selatan menerusi pukulan sudut penalti Kim Youngjin.

Kedudukan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.

Skuad negara sebelum ini, tumpas 2-4 kepada New Zealand pada perlawanan pertama dan 2-3 kepada juara dunia Australia, namun bangkit mencatat kemenangan 3-2 ke atas India, semalam.

Malaysia akan berdepan Kanada Sabtu ini.

Sementara itu, pada perlawanan berlangsung di venue sama petang tadi, Australia mengekalkan rekod bersih apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut selepas mengalahkan New Zealand 3-1, manakala India menewaskan Kanada 5-3.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment