Thursday, April 30, 2015

Lupakan wanita misteri – Norza



KUALA LUMPUR - “Tak perlulah orang lain nak tahu siapa wanita yang membekalkan kap­sul cordyceps itu. Isu ini sudah lepas, ada baiknya kita pandang ke hadapan”. Itu ulasan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berhubung seorang wanita yang dilaporkan turut terlibat dalam kes doping Datuk Lee Chong Wei.

Laporan panel perbicaraan kes Chong Wei mendedahkan bahawa terdapat seorang isteri kepada seseorang yang berpengaruh telah memberikan bekas pemain No. 1 dunia itu kapsul cordyceps yang kemudiannya didapati tercemari dengan bahan terlarang dexamethasone tanpa disedari.

Mengakui mengetahui siapa individu tersebut, namun Norza me­negaskan bahawa cordyceps yang diberikan oleh wanita itu merupakan produk makanan semula jadi dan suplemen herba yang bermanfaat.

Bagaimanapun katanya, kes tersebut adalah luar biasa kerana terdapat beberapa kapsul telah dicemari oleh dexamethasone.
“Seperti apa yang telah dikatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, kejadian ini adalah sesuatu yang luar biasa.

“Ini kerana, cordyceps sebenar­nya boleh dimakan dan baik untuk digunakan. Cuma, suplemen yang dimakannya (Chong Wei) itu, yang mana beberapa kapsul dalam botol ber­kenaan sudah tercemar oleh dexamethasone, itu sahaja.

“Dexamethasone adalah bahan terlarang ketika kejohanan dan bukan bahan terlarang di luar kejohanan.

“Kami tahu (siapa wanita yang membekalkan kapsul cordyceps itu), tetapi lebih baik kita fokuskan dengan memberi sokongan padu kepada Chong Wei untuk bangkit semula dan mengumpulkan mata ranking seterusnya melibatkan diri dalam kejohanan-kejohanan besar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Chong Wei digantung lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setelah ujian doping mendapati air kencingnya mengandungi dexamethasone sewaktu Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

Hukuman penggantungan yang berkuat kuasa 30 Ogos 2014 itu berakhir hari ini.
Mengulas lanjut, Norza yang juga Chef de Mission (CDM) Sukan SEA Singapura 2015 menggesa, agar atlet yang mengambil suplemen terutama dari luar bidang sukan agar lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Sebab itu dalam perancangan untuk atlet ke Sukan SEA tahun ini, semua atlet yang mengambil ubat-ubatan terutama suplemen mereka sendiri, mereka harus meminta bantuan pegawai Institut Sukan Negara (ISN) mahupun jurulatih terlebih dahulu.

“Ini untuk menentukan sama ada bahan yang mereka ambil benar-benar selamat untuk digunakan terutama pada hari kejohanan,” katanya.



UTUSAN

No comments:

Post a Comment