Friday, April 17, 2015

Lela waspada


Kuala Lumpur: Kesakitan akibat kecederaan lutut kiri memaksa ratu terjun negara Pandelela Riong untuk lebih berhati-hati dalam setiap terjunan dilakukan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London itu kini memberi lebih tumpuan kepada terjunan berbanding meraih pingat dalam usahanya layak ke Sukan Olimpik Rio tahun depan.

Mengulas kegagalan membawa pulang pingat pada Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015 di Beijing dan Dubai, Pandelela berkata, dia hanya fokus pada terjunan.

“Kecederaan saya semakin pulih namun ada kalanya masih sakit tapi ia terkawal,” katanya.
Atlet kelahiran Sarawak itu gagal berada dalam kelompok tiga terbaik dua siri pertama kejohanan dunia itu namun dia masih berpeluang menghadiahkan pingat pada siri ketiga di Kazan, Russia 24-26 April ini, London (1-3 Mei), Windsor Kanada (22-24 Mei) dan Merida, Mexico (29-31 Mei).

Pandelela, 22, mengalami kecederaan lutut kiri ketika menjalani latihan di Guangzhou, China, sebulan sebelum beraksi di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, Ogos lalu.

Pada temasya itu dia sekadar meraih pingat perak dalam acara kegemarannya 10m platform individu dan gangsa 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri.

Di Sukan Asia Incheon pula, dia memenangi pingat gangsa acara 10m platform seirama bergandingan dengan Leong Mun Yee.

Pandelela yang akan beraksi pada temasya Sukan SEA Singapura Jun ini dijangka tidak berdepan masalah membawa pulang pingat emas. Dia mengekalkan penguasaan Sukan SEA acara 10m platform individu dan seirama sejak 2007 di Thailand, 2009 (Laos), 2011 (Palembang) dan 2013 (Myanmar).


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment