Wednesday, April 15, 2015

Lampu hijau ‘warga asing’




Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi ‘lampu hijau’ kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seandainya badan induk itu mahu mendapatkan pemain asing yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan negara ini.

Menurut Khairy, bukan saja bola sepak malah pendirian itu turut merangkumi sukan lain ketika beliau menjelaskan Majlis Sukan Negara (MSN) sendiri sentiasa memantau individu berbakat yang berada di luar negara.

“Saya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan FAM untuk melakukannya walaupun mereka belum mengumumkannya secara rasmi.

“Saya sendiri juga mencari bakat seperti itu. Saya minta semua pihak bergiat secara aktif bagi mencari atlet dan mencungkil bakat Malaysia yang berada di luar negara.

“Baru-baru ini saya sendiri menemui seorang anak muda warga Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai bakat dalam sukan luncur salji dengan bapanya warga Amerika Syarikat (AS) dan ibunya, Malaysia.

“Saya boleh membantunya untuk menjadi atlet kebangsaan. Tiada masalah, yang penting dia mesti berbakat,” katanya.

Khairy turut menegaskan pendiriannya yang tidak menggalakkan naturalisasi warga asing sebagai atlet kebangsaan kecuali mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia.

“Saya boleh terima sekiranya FAM mahu mendapatkan pemain mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia, tapi bermain dan dibesarkan di luar negara. Ia wajar kerana masih mempunyai kaitan dengan Malaysia walaupun tidak pernah tinggal di sini. Yang penting salah seorang (ibu atau bapa) berasal dari sini dan dia layak bermain untuk Malaysia.

“Pendekatan kita berbeza dengan negara jiran yang memberikan kewarganegaraan kepada pemain tidak mempunyai sebarang hubungan langsung untuk menyarung jersi mereka. Bagi saya, ini tidak betul,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan kenyataan bekas pemain Sabah dan Australia Scott Ollerenshaw yang mendedahkan masih ada beberapa pemain dalam pemantauannya yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia.

Beliau sebelum ini ‘membawa masuk’ Junior Eldstal dan Brendan Gan dengan kedua-dua pemain berkenaan dilihat berjaya memberikan dimensi baru kepada skuad negara untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Terbaru pemain kacukan Malaysia-Australia Matthew Davies (gambar) didaftarkan bersama Pahang dan sudah berada dalam senarai pemilihan untuk skuad Bawah 23 (B-23) negara bagi Sukan SEA Singapura.



Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
 

No comments:

Post a Comment