Friday, April 10, 2015

Kedudukan Keith Power masih samar-samar



PUTRAJAYA – Kedudukan terkini jawatan Pengarah Sukan Berprestasi Tinggi yang akan menguruskan Program Podium menjadi tanda tanya apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih lagi belum memberi kata putus mengenai perkara tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberitahu bahawa pihaknya masih menunggu beberapa maklumat dari Keith Power, iaitu calon yang dirasakannya paling sesuai untuk jawatan tersebut, sebelum mengesahkan kedudukannya.

“Saya memerlukan sedikit masa lagi untuk mengesahkan siapa yang bakal mengisi jawatan itu. Buat masa ini Power adalah calon yang paling bersesuaian bagaimanapun masih terdapat beberapa maklumat yang tidak lengkap dan kami perlu mengesahkannya terlebih dahulu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Ragbi Piala Crescent (CCRC) serta majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Just On Sports Sdn. Bhd. bersama Islamic Solidarity Sports Federation (ISSF) di sini semalam.

Sebanyak 12 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil bahagian dalam kejohanan itu iaitu Algeria, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Senegal, Lebanon, Kazakhstan, Tajikistan, Uzbekistan, Iran, Uganda, Ivory Coast dan Malaysia selaku tuan rumah. Kejohanan tersebut akan berlangsung di Melaka 1-14 Jun depan.

Dalam perkembangan lain, jurulatih ragbi kebangsaan, Lee Nyuk Fah tidak kisah lima pemainnya diserap masuk ke dalam skuad Sukan SEA kerana beranggapan dia masih memiliki beberapa pemain lain untuk menggalas tanggungjawab negara.

“Kami masih memiliki pemain lain yang mampu memberi persembahan terbaik. Baru-baru ini kami baru sahaja selesai Liga Super dan kami telah mengumpul 49 pemain. Saya serahkan kepada pengurus pasukan untuk memilih pemain seterusnya,” katanya.

Nyuk Fah kehilangan Adzmir Zeinol Abidin, Fairuz Rahman, Anwarul Hafiz, Suffian Kamil dan Safuwan Abdullah yang kini menjalani latihan bersama pasukan ragbi tujuh sebelah negara bagi menghadapi Sukan SEA di Singapura pada Jun ini.

Tambah Nyuk Fah, sebelum menghadapi CCRC skuadnya dijadualkan menyertai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di ibu kota yang bermula pada 10 Mei depan.

“ARC merupakan kejohanan pertama kami dan saya fikir itu adalah platform terbaik untuk menghadapi CCRC kerana kejohanan itu juga memiliki beberapa buah negara hebat seperti Kazakhstan yang beraksi dalam Liga Premier ARC serta Algeria yang mempunyai pemain de­ngan susuk badan mantap,” katanya.




FADHILUL IZMEL ISHAK - UTUSAN

FADHILUL IZMEL ISHAK


No comments:

Post a Comment