Tuesday, April 28, 2015

Kapsul cordyceps punca penggantungan lapan bulan Chong Wei - Khairy

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Kapsul Cordyceps yang mengandungi dexamethasone menjadi punca utama kepada penggantungan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Cordyceps merupakan produk makanan semulajadi dan suplemen herba yang diamal pengambilannya oleh beliau sejak berumur 13 tahun.

"Chong Wei mengambil Cordyceps sejak berusia 13 tahun kerana keluarganya percaya ia bermanfaat untuk kesihatan beliau," kata Khairy kepada pemberita di pejabatnya ketika mengumumkan keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung pemain itu selama lapan bulan, di sini Isnin.

Khairy berkata Chong Wei telah mengikuti arahan pakar pemakanannya di Institut Sukan Negara (ISN) berhubung suplemen yang boleh dan tidak boleh diambil.

Beliau berkata pakar pemakanan menasihatkan Chong Wei bahawa kapsul Cordyceps adalah selamat dan sebab itu ia tidak perlu diuji selagi produk tersebut "Cordyceps asli".

Justeru, Khairy mengingatkan semua atlet merujuk kepada ISN terlebih dahulu berhubung status kesahihan sesuatu ubat dan suplemen yang mereka guna.

"Kita akan kaji semula dengan apa yang berlaku, bukan sahaja dalam kes Chong Wei tetapi atlet lain yang berada di bawah seliaan ISN.

"Menjadi peraturan tetap ISN, kita beri nasihat kepada atlet supaya tidak ambil suplemen atau ubat-ubatan luar dari ISN. Semua atlet perlu ambil iktibar daripada perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Chong Wei masih lagi sandaran utama negara untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan.

Chong Wei digantung lapan bulan oleh BWF kerana kesalahan doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas.

Bagaimanapun, hukuman penggantungan berkuat kuasa 30 Ogos tahun lepas itu akan berakhir 30 April ini.

Pemain berusia 33 tahun itu didapati menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' dalam ujian doping pada kejohanan dunia itu, sekali gus melakukan kesalahan antidoping di bawah peraturan 2.1 Peraturan Antidoping BWF 2009.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment