Monday, April 06, 2015

Frost perlu kaji kelemahan pemain negara



Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff (gambar) jelas tidak gembira ketika ditanya mengenai prestasi pemain negara di Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 apabila tiada yang berjaya melangkah ke separuh akhir.

“Saya sudah beritahu beberapa kali sebelum ini, jangan terlalu cepat berpuas hati. Jika tidak, bagaimana untuk maju,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara BAM dan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) semalam.

Jelasnya apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mereka harus memikirkan bagaimana untuk berjaya pada masa akan datang terutama selepas menjalin kerjasama dengan Korea Selatan dan Indonesia.

Selepas beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei kecundang di suku akhir, tidak ada pemain negara yang mara ke separuh akhir dan Terbuka Malaysia seolah-olah ‘dijajah’ pemain luar.

“Saya memang tidak gembira, tetapi selepas ini Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen akan melakukan analisis bersama barisan jurulatih untuk menyenaraikan apa kelemahan kita.

“Dalam masa sama badan bebas seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) juga akan membuat penilaian.

“Selepas mengenal pasti segenap aspek, barulah kita melakukan perancangan. Ia tidak terarah kepada menilai tetapi bagaimana untuk melakukan perancangan berjaya. Sekarang kami sudah melihat beberapa pemain remaja yang berpotensi dan perlu bijak bagaimana untuk mematangkan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai bekas jurulatih BAM, Rashid Sidek dan Rosman Razak tidak menyambung kontrak, Tengku Mahaleel berkata, siapa saja yang mendapat tawaran lebih baik akan berhijrah ke tempat lain.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment