Monday, April 13, 2015

Chong Wei puas hati – Khairy



JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei puas hati dengan proses perbicaraan berhubung kegagalan ujian doping terhadapnya yang berlangsung di Amsterdam, Belanda kelmarin.”
Demikian jelas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam.


Menurut Khairy, beliau bercakap dengan Chong Wei menerusi panggilan telefon sebelum dan selepas perbicaraan tersebut dan semuanya berjalan dengan baik.

Prosiding tersebut memakan masa hampir lapan jam dan pihak pembela diberi ruang secukupnya mengemukakan hujah serta bukti.

“Selepas perbicaraan, Chong Wei memaklumkan bahawa pihak peguam bela dan dirinya diberi peluang untuk mengemukakan hujah di hadapan panel Pendengaran Antidoping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Dia (Chong Wei) juga mengakui berpuas hati dengan segala prosiding itu dan kita terpaksa menunggu tiga minggu lagi sebelum mengetahui keputusan kes berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Fit Malaysia peringkat negeri Sarawak di Padang Merdeka, Kuching semalam.

Bekas pemain No. 1 dunia dan naib juara Sukan Olimpik 2008 dan 2012 itu digantung sementara oleh BWF bermula 11 November 2014 kerana ujian air kencing ke atasnya didapati positif bahan terlarang jenis dexamethasone semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, ogos tahun lalu.

Selepas beberapa kali ditangguhkan, Chong Wei yang ditemani peguamnya, Mike Morgan, Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh dan ahli majlis BAM, Jadadish Chandra menghadiri sesi pendengaran tersebut di Hotel Sheraton, Lapangan Terbang Amsterdam, Belanda kelmarin.

Dalam pada itu, Khairy enggan mengulas lebih terperinci berkenaan perbicaraan itu kerana tidak mahu mendahului keputusan pihak panel pendengaran BWF.

Katanya, beliau yakin kesemua pihak yang terlibat iaitu peguam bela, Chong Wei dan BAM sudah membuat usaha yang terbaik untuk mendapat keputusan positif dalam perbicaraan berkenaan.

“Pihak pembelaan sudah melakukan yang terbaik dan kita tunggu sahaja keputusannya nanti. Apa yang boleh saya beritahu setakat ini, kalau ada pun (didapati bersalah), Chong Wei mungkin tidak berdepan hukuman yang berat,” tambah Khairy.



KOSMO

No comments:

Post a Comment