Monday, April 27, 2015

Chong Wei digantung lapan bulan, penggantungan berakhir 30 April - Khairy

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dikenakan hukuman penggantungan selama lapan bulan berhubung kesalahan kes doping oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkuatkuasa 30 Ogos 2014.

Mengikut Panel Pendengaran Doping BWF, tempoh penggantungan tersebut akan berakhir 30 April ini dan bekas pemain nombor satu dunia itu layak bermain semula pada 1 Mei ini.

Keputusan BWF itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di pejabatnya di sini Isnin.

Hadir sama pada pengumuman itu ialah Chong Wei dan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Berikut keputusan BWF itu, Chong Wei layak bertanding dalam tiga kejohanan utama iaitu Piala Sudirman di Dongguan, China dari 10 hingga 17 Mei, Sukan SEA di Singapura (5 hingga 16 Jun) dan Kejohanan Dunia di Jakarta, Ogos ini.

Sebelum ini, Chong Wei digantung sementara oleh BWF pada 24 Nov lepas selepas gagal melepasi ujian doping semasa menyertai Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas.

Semasa ujian doping dijalankan secara rawak pada kejohanan itu, sampel air kencing pemain berusia 33 tahun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone'.

Pada 11 April lepas, Chong Wei bersama peguam Mike Morgan dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh menghadap tiga anggota bebas Panel Pendengaran Doping BWF di Amsterdam bagi mengemukakan rayuan terhadap penggunaan bahan terlarang itu.

Dalam pada itu, BWF dalam kenyataan hari ini, berkata Chong Wei mengaku bahan terlarang itu wujud dalam sampel air kencingnya kepada Panel Pendengaran Doping BWF pada 11 April lepas.

Justeru, BWF berkata pemain itu telah melakukan kesalahan antidpoing mengikut peraturan 2.1 Peraturan Antidoping BWF 2009.

Menurut kenyataan itu, sampel doping pemain itu mengandungi dexamethasone, sejenis bahan yang dilarang 'dalam pertandingan', iaitu sumber bahan terlarang terkandung dalam kapsul gelatin dalam suplemen makanan yang diambil oleh Chong Wei.

Bagaimanapun panel mendapati Chong Wei 'cuai' tetapi kecuaian tersebut disifatkan sebagai 'lebih ringan' berikutan pemain itu tidak sedar bahawa beliau telah menghadam bahan terlarang (dexamethasone).

BWF berkata panel pendengaran itu memutuskan hukuman penggantungan bermula tarikh penemuan kesan analitikal sampel air kencing Chong Wei yang diambil semasa Kejohanan Dunia pada 30 Ogos tahun lepas.

Panel Pendengaran Doping memutuskan 'betul dan adil' untuk mengundurkan tarikh penggantungan kepada tarikh pengutipan sampel, menurut kenyataan itu.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment