Thursday, March 19, 2015

Wakil FIFA ajar pengadil Malaysia minggu depan



KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal membawa Ketua Bahagian Pengadil Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Massimo Busacca bersama empat tenaga pengajar mereka ke Kuantan, Pahang minggu depan untuk me­ngadakan seminar bertujuan me­ningkatkan mutu pengadilan di negara ini yang semakin teruk dikritik.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, seminar selama seminggu itu akan melibatkan pengadil utama dan pembantu pengadil dalam Liga Super dan Perdana.

“Masalah pengadil memang ada. Pengadil ini bukan kelemahan FAM sahaja, mana-mana pengadil termasuk dalam Piala Dunia pun ada kelemahan. Tetapi, saya juga prihatin sebab terdapat pasukan negeri yang belanja besar bagi meningkatkan skuad mereka, akan tetapi ada kelemahan dari segi pengadilan.

“Namun saya boleh menyatakan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memandang serius dan memberi perhatian (berhubung mutu pengadilan) sejak beliau menjadi Presiden FAM.

“Dua minggu lepas kami telah mengadakan kursus untuk sebahagian pengadil dengan kerjasama AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN). FAM tidak kata berpuas hati, (tetapi) kami pun perlu sering mengingkatkan mutu pengadilan.

“Kadang-kadang kita tengok sesuatu perlawanan dalam tempoh 90 minit, mungkin ada satu atau dua minit pengadil itu membuat keputusan silap, mungkin seluruh penonton nampak perkara itu tak betul.
“Tetapi, ada juga keputusan pengadil itu betul, tetapi pandangan penyokong itu berlainan dari segi undang-undang,” katanya selepas sidang akhbar bersempena kunjungan Liverpool ke Malaysia di Subang semalam.

Mengenai perbuatan sebahagian penyokong Pahang membakar suar sejurus sahaja tamat perlawanan Liga Super antara skuad Tok Gajah dengan Selangor di Stadium Darul Makmur pada 14 Februari lalu, Hamidin berkata, keputusan tersebut akan diperoleh dalam satu atau dua minggu lagi. 


UTUSAN

No comments:

Post a Comment