Thursday, March 12, 2015

Tunku Imran Akan Pertahan Jawatan Presiden CGF

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata beliau akan mempertahankan jawatannya pada perhimpunan agung badan itu dijadualkan pada September di Auckland, New Zealand.

Setelah memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada 2011, menggantikan Michael Fennell dari Jamaica, beliau berkemungkinan akan menghadapi cabaran bagi mempertahan jawatan itu, termasuk daripada setiausaha kehormat sekarang Louise Martin dari Scotland yang telah mengisytiharkan dirinya untuk bertanding.

Tunku Imran berkata masih banyak kerja yang hendak diselesaikan dalam organisasi itu, namun sedia menyambut baik sebarang cabaran.

"Kami telah melaksanakan banyak pembaharuan dalam CGF dengan pelan strategik baru...

"Setelah memulakan proses dan menyelesaikan fasa pertama mendapatkan kelulusan segalanya, dan bergerak, saya kini ingin melihat proses pelaksanaan dijalankan," katanya kepada pemberita pada satu acara di sini hari ini.

Tunku Imran, yang menjadi presiden Majlis Olimpik Malaysia sejak 1998 dan anggota Jawatankuasa Majlis Olimpik Antarabangsa sejak 2006, pernah memegang jawatan naib-presiden CGF selama lapan tahun sebelum menyandang presiden.

Martin, naib-pengerusi jawatankuasa pengelola bagi Sukan Komanwel Glasgow 2014, ada menyatakan hasratnya beberapa tahun lepas untuk bertanding jawatan presiden CGF.

Beliau menjelaskan, langkahnya untuk merebut jawatan utama itu adalah atas sebab-sebab peribadi dan bukan untuk mengetepikan Tunku Imran.

Dengan keanggotaan 71 negara, CGF bertanggungjawab menentukan hala tuju dan kawal selia Sukan Komanwel yang berlangsung empat tahun sekali itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment