Thursday, March 19, 2015

Tahap Kewartawanan Sukan Negara Setanding Antarabangsa - Khairy

PETALING JAYA, 18 Mac (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengakui bahawa tahap kewartawanan sukan di Malaysia adalah setanding dengan kewartawanan sukan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata wartawan di Malaysia menyampaikan berita dan laporan tanpa unsur berat sebelah dan tidak mengampu mana-mana pihak untuk kepentingan tertentu.

Katanya ini terbukti apabila beliau sendiri pernah dikritik media ketika mula dilantik sebagai menteri dua tahun lepas.

"Waktu saya dilantik sebagai menteri dua tahun lepas, saya kata kamu bebas mengatakan apa yang kamu mahu tapi biarlah adil. Kalau sekiranya ada yang tidak betul dari segi fakta, kita perbetulkan.

Dari segi pandangan dan analisis berita yang dibuat oleh wartawan sukan kita di sini, saya rasa setanding ataupun antara yang terbaik bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tapi jika dibanding dengan di United Kingdom dan sebagainya, kita mempunyai media sukan yang bagus di sini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2014 di sini hari ini.

Khairy berkata mutu kewartawanan sukan negara semakin meningkat sementara penganjuran anugerah SAM-100 PLUS setiap tahun adalah satu usaha yang terbaik untuk mengiktiraf dan meraikan warga sukan yang menunjukkan prestasi terbaik masing-masing.

Dari segi anugerah yang diberikan kepada atlet pula, Khairy bersetuju dengan pemilihan ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang sekali lagi dinobatkan sebagai Atlet Terbaik SAM-100 PLUS 2014 yang turut meraih anugerah itu pada 2005.

"Dari segi anugerah yang diberikan kepada atlet kebangsaan secara keseluruhannya, saya rasa keputusan dan pilihan yang dibuat adalah pilihan yang amat tepat kerana Nicol adalah pemain skuasy wanita yang tiada tandingannya di peringkat dunia," katanya.

Pada majlis itu, ratu skuasy negara yang juga pemain skuasy nombor satu dunia itu dinobatkan sebagai Atlet Terbaik SAM-100 PLUS 2014 manakala pelumba go-kart negara Muizzuddin Musyaffa Abdul Ghafar menerima anugerah Atlet Remaja Terbaik.

Nicol mencatat rekod terbaik apabila memegang gelaran nombor satu dunia sehingga 106 bulan sejak Januari 2006, mengatasi rekod 105 bulan yang dicipta Susan Devoy dari New Zealand yang dipegangnya sejak Februari 1993.

Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) pula dipilih sebagai Persatuan Sukan Dinamik berikutan pencapaian skuad karate yang tidak pernah menghampakan dalam setiap temasya sukan yang disertai selain tidak pernah gagal melahirkan bakat baharu untuk diketengahkan.

Pasukan skuasy wanita yang diwakili Nicol, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan pula meraih anugerah khas SAM-100 PLUS 2014 selepas buat kali pertama melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia tahun lepas.

Muhammad Rizal Hashim daripada Astro Digital Publication pula meraih anugerah Utama Kewartawanan Sukan SAM-100 PLUS 2014 menerusi artikel 'Skuad Aristokrat: Pahang Lengkapi Musim Gemilang' yang turut memenangi kategori laporan khas terbaik media cetak dan elektronik.

Hizami Roslan daripada asiana.my pula meraih anugerah fotografi sukan terbaik.

Mohd Ikhsan Firdaus Azmi daripada Kosmo! meraih anugerah laporan berita terbaik media cetak menerusi artikel 'Sukar Cari Pengganti Chong Wei', TV3 pula memenangi laporan berita terbaik elektronik, manakala Haresh Singh daripada The Malay Mail pula mengungguli kategori ulasan terbaik media cetak dan kategori media elektronik pula dimenangi Astro Arena.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut tercalon dalam dua kategori iaitu laporan berita terbaik media cetak menerusi artikel 'Atlet Zaman Sekarang Lebih Bertuah' hasil nukilan wartawan sukan Karina Imran di samping dua pencalonan dalam kategori fotografi terbaik menerusi Shahrizan Jeffri Aziz dan Azhan Mohd Pidek.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment