Tuesday, March 17, 2015

Sukan hoki aset Malaysia



LIGA Hoki Remaja Malaysia (MJHL) sentiasa menjadi platform terbaik dalam melahirkan bakat-bakat baharu arena hoki negara sejak diperkenalkan pada tahun 1995.

Penubuhan sai­ngan liga pada peringkat remaja itu diwujudkan hasil idea daripada bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad (gambar kecil) dan bekas Setiausaha Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), S. Satgunam.

Pada mulanya, kewujudan MJHL hanya mempunyai 11 pasukan, namun kini mula mendapat perhatian ramai apabila lebih 30 pasukan mengambil bahagian yang dibahagikan kepada dua divisyen pada musim ini.

“MJHL berjaya mengekalkan tujuan asalnya dan sentiasa berjaya menarik lebih ramai pasukan untuk menyertai. Satu usaha menggalakkan apabila melihat banyak kelab remaja, negeri dan sekolah mengambil bahagian.

“Saban tahun saingan semakin sukar tetapi ia baik buat pendedahan para pemain. Lebih menggembirakan, MJHL turut mempunyai penaja setia yang sentiasa menaruh kepercayaan untuk menggilap bakat-bakat baharu.

“Selain bola sepak, hoki adalah aset kepada Malaysia kerana sukan ini berpeluang untuk beraksi pada Piala Dunia dan Sukan Olimpik. Jika kita tidak serius, masalah akan wujud kerana mereka adalah tulang belakang kepada arena hoki negara,” kata Mazlan.

Kewujudan MJHL juga me­nyaksikan berlakunya impak positif apabila Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL Young Guns) sentiasa menjadi ‘kilang’ utama melahirkan pelapis-pelapis ke dalam pasukan kebangsaan.

Dua musuh tradisi ini juga sentiasa memonopoli saingan MJHL dan Piala MILO selain mendapat cabaran sengit daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang masih lagi gagal memecahkan dominasi tersebut.

Buktinya, SSTMI Thunderbolt sekali lagi menjuarai kejuaraan berganda musim ini, sekali gus mempertahankan kejuaraan tersebut sebanyak empat tahun berturut-turut selepas meraih kemenangan ke atas UniKL Young Guns di pentas final Piala MILO kelmarin.



 KOSMO

No comments:

Post a Comment