Wednesday, March 11, 2015

Ski Air: Aaliyah Sasar Dua Emas Pada Sukan Sea 2015


KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pada usia lapan tahun apabila kebanyakan kanak-kanak masih mentelaah buku pelajaran, Aaliyah Yoong Hanifah telahpun mengukir nama di pentas antarabangsa sebagai juara sukan ski air.

Pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, atlet cilik itu meraih pingat emas pertamanya dalam kejohanan antarabangsa utama.

Kini, selepas empat tahun berlalu, Aaliyah sekali lagi memasang impian untuk berada di pentas juara dan kali ini pada Sukan SEA 2015 di Singapura dari 5 hingga 16 Jun.

Bukan itu sahaja, beliau juga bertekad untuk menggandakan pungutan pingat emasnya pada temasya tersebut.

Aaliyah akan turun beraksi dalam acara tricks dan keseluruhan acara sukan ski air, yang dipertandingkan semula pada Sukan SEA selepas empat tahun ia tidak disenaraikan sebagai acara temasya sukan tersebut.

Atlet paling muda meraih emas dalam sejarah Sukan SEA itu memenangi acara tricks wanita dengan menewaskan Sareeya Promsuntisit dari Thailand dan rakan senegara, Phillipa Clare pada 2011.

Aaliyah, 11, dengan ketinggian 143cm kini menduduki ranking ke-37 dalam terbuka wanita dan ketujuh dalam kategori wanita bawah 17 tahun dunia.

Bapanya yang juga ketua jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) Hanifah Yoong yakin bahawa Aaliyah akan muncul sebagai atlet ski air bertaraf dunia pada masa hadapan.

"Beliau ditakdirkan untuk menjadi antara atlet terbaik dunia dalam sukan ski air ataupun menjadi juara dunia ski air dalam tempoh lima hingga enam tahun apabila mencecah usia 17 tahun," kata Hanifah Yoong kepada Bernama, di sini, hari ini.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu juga adalah juara Wanita Terbuka Asia 2013, empat kali juara Tricks Wanita Bawah 17 Tahun Asia (2011-2014) dan empat kali sebagai juara Tricks Wanita Malaysia (2011-2014).



Oleh R Vikneswaran -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment