Monday, March 16, 2015

Sebahagian RM9 Juta Disalur Kepada Program Pembangunan Sukan Berbasikal - Khairy

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Sebahagian daripada RM9 juta yang dijimatkan daripada pengurangan peruntukan untuk penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 akan disalurkan kepada program pembangunan sukan berbasikal.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata program pembangunan itu akan dimulakan tidak lama lagi dengan memberi kepada golongan remaja dan pelajar.

Katanya, pada penganjuran LTdL tahun lepas, yang diusahakan oleh kementerian itu, peruntukan yang diluluskan adalah RM19 juta dan pada tahun ini hanya RM10 juta diperuntukkan untuk penganjur swasta.

"Saya buat keputusan untuk wujudkan program pembangunan itu kerana saya rasa penjimatan ini sebahagian daripada sukan berbasikal. Ia mestilah dikekalkan untuk program basikal," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah LTdL 2015 di Dataran Merdeka, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah LTdL telah disempurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Khairy menganggap penganjuran LTdL kali ini sebagai satu program yang berjaya dan berpuas hati terutamanya dengan penjimatan yang perolehi daripada penswastaan program itu.

Mengulas mengenai penambahbaikan yang boleh dilakukan penganjur pada edisi akan datang, Khairy berkata dengan masa jangka masa persiapan yang lebih panjang, LTdL akan dapat menarik lebih banyak penglibatan daripada pasukan profesional bertaraf dunia.

"Pencapaian pasukan tempatan, saya lihat tidaklah teruk sangat. Saya lihat ada beberapa penamat podium dan ini saya rasa prestasi terbaik dalam beberapa tahun lepas.

"Kita harus letak objektif untuk menang kategori pasukan terbaik Asia...itu mesti menjadi matlamat kita sebab selama 20 tahun kita anjur LTdL, memang tak pernah menang gelaran ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment