Monday, March 16, 2015

Reguigui ‘Raja LTdL 2015



KUALA LUMPUR - Pelumba MTN-Qhubeka, You­cef Reguigui mencipta kejutan apabila bergelar Raja Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 biarpun menamatkan saingan terakhir sejauh 96.1 kilometer dari Kuala Kubu Bharu ke Kuala Lumpur di tangga kesepuluh semalam.

Pelumba dari Algeria itu mula men­curi tumpuan pelumba lain apa­bila dia menyambar jersi kuning daripada Caleb Ewan selepas melakar kemenangan di luar jangkaaan dalam peringkat ketujuh kelmarin.

Seperti diduga, kemenangan ter­sebut telah melebarkan jurang ma­sa keseluruhan dengan penca­bar lain sekali gus memberi kelebihan untuk Reguigui meraih gelaran Raja LTdL edisi ke-20 dengan masa keseluruhan 28 jam 12 minit 4 saat dan mengumpul 89 mata.

 “Secara jujurnya, saya memang tidak dapat tahan dengan keadaan cuaca panas di sini, terutama pada hari pertama perlumbaan.

“Bagaimanapun, saya mula dapat menyesuaikan diri dari satu pe­ringkat ke satu peringkat. Apa pun, saya masih terkejut dengan kemenangan semalam (kelmarin) di Bukit Fraser,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlumbaan.


Perlumbaan peringkat terakhir se­malam dikuasai oleh jaguh dari Itali, Andrea Guardini yang pertama melintasi garisan penamat di Dataran Merdeka untuk mengumpul 71 mata keseluruhan selepas tamat lapan peringkat.

Ini bermakna pelumba pasukan Astana Pro Team itu melebarkan re­kod kemenangan peringkatnya kepada 18 sepanjang lima tahun menyertai LTdL.
Pelumba Orica GreenEdge, Ewan menduduki tempat kedua keseluruhan dan mengakui berpuas hati dengan penampilan sulungnya dialam LTdL.

“Saya sangat gembira. Ini penyertaan pertama saya dan berkesudahan dengan begitu baik,” kata pelumba berusia 21 tahun itu yang memenangi peringkat ketiga (Gerik-Tanah Merah) dan peringkat keenam (Maran-Karak).
Pelumba kelahiran Australia itu turut dinobatkan sebagai Raja Pecut (jersi biru) selain mengumpul 89 mata keseluruhan.

Sementara itu, Anuar Manan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) muncul pelumba terbaik negara semalam apabila menduduki tempat ketujuh.

Dalam pada itu, Kiel Reijnen jelas tiada saingan untuk memenangi jersi merah (raja bukit) setelah pelumba pa­sukan UnitedHealthCare Pro Cyc­ling itu mendominasi lapan peringkat perlumbaan untuk me­ngumpul 39 mata.

Pelumba Aisan Racing Team, Tomohiro Hayakawa pula dinobatkan selaku juara Asia (jersi putih) dengan catatan masa 28 jam 13 minit 51 saat keseluruhan.

Hadiah kepada pemenang di­sampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Perdana Menteri yang juga penaung LTdL, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.





SUFIAN HADI MOHD. SOJAK - UTUSAN





SUFIAN HADI MOHD. SOJAK

 

No comments:

Post a Comment