Monday, March 16, 2015

Reguigui Muncul Pelumba Benua Afrika Ketiga Takluk LTdL 2015

KUALA LUMPUR, 14 Mac (bernama) -- Pelumba Algeria, Youcef Reguigui muncul sebagai pelumba ketiga dari benua Afrika menjuarai edisi ke-20 perlumbaan Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 di sini hari ini.

Pelumba pasukan MTN-Qhubeka berusia 25 tahun itu mengekalkan jersi kuning, selaku pendahulu keseluruhan, selepas mengumpul catatan masa keseluruhan 28 jam 12 minit 04 saat.

Reguigui merampas jersi kuning daripada pelumba Australia, Caleb Ewan daripada pasukan Orica GreenEdge selepas memenangi peringkat ketujuh dari Shah Alam ke Bukit Fraser, semalam.

Pada peringkat kelapan dan terakhir dari Kuala Kubu Baharu ke Dataran Merdeka di sini, hari ini, pakar bukit itu menduduki tangga ke-10 daripada 115 pelumba dengan catatan masa 2 jam 27 minit dalam saingan sejauh 96.1km.

Sebagai rekod, dua pelumba dari benua Afrika, Ryan Cox dan David George, kedua-dua daripada pasukan kebangsaan Afrika Selatan, menjuarai jersi kuning, selaku juara keseluruhan, masing-masing pada 1996 dan 1997.

Peringkat akhir hari ini dimenangi pelumba Itali, Andrea Guardini, sekali gus melebarkan rekod kemenangan peringkat kepada ke-18 dalam edisi LTdL selepas menjuarai peringkat pertama, kedua, keempat dan kelapan tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Reguigui menyifatkan kemenangan itu sebagai amat manis sekali kerana ia merupakan kemenangan sulung dalam jelajah antarabangsa dan kemungkinan akan kembali semula pada edisi tahun depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang melakukan tugas dengan baik sekali," katanya.

Dalam pada itu, Guardini daripada pasukan Astana Pro berkata walaupun gagal merangkul jersi kuning dalam penampilan lima edisi berturut-turut namun gembira dapat menjuarai perlumbaan peringkat terakhir.

"Saya gembira kerana ini kemenangan keempat pada edisi 2015 dan kali ketiga di Kuala Lumpur. Ini keputusan hebat," katanya.

Sementara itu, Ewan, pula berkata beliau gembira kerana muncul sebagai Raja Pecut (jersi biru) pada penampilan sulung di sini manakala jersi merah, selaku Raju Bukit dimiliki oleh pelumba Amerika Syarikat, Kiel Reijnen.

"Keputusan positif ini adalah permulaan baik untuk tahun ini," kata Reijnen, pelumba pasukan UnitedHealthCare berusia 28 tahun yang pernah beraksi pada edisi 2009.

Pelumba Jepun, Tomohiro Hayakawa daripada pasukan Aisan racing Team, berjaya memilki jersi putih, selaku pelumba terbaik Asia manakala pasukan dari Indonesia, Pegasis Continental, muncul pasukan terbaik keseluruhan dengan jumlah catatan masa 84 22 minit 01 saat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment