Tuesday, March 03, 2015

Rancang program baru!



Kuala Lumpur: Tidak banyak yang dipinta Datuk Lee Chong Wei daripada Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen selain program baru yang mampu menaikkan semula kegemilangan negara. Chong Wei berharap semua jurulatih tempatan juga mampu bekerjasama dengan Frost yang memulakan tugasnya di Ibu Pejabat BAM, di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

 “Kami harap Frost dapat menukar program baru agar sukan badminton negara kembali bangkit. Beliau harus memberi penekanan terhadap semua bahagian bukan perseorangan lelaki saja,” kata Chong Wei. Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, Frost harus melakukan tugas satu demi satu bukannya sekali gus. “Memang beliau mempunyai perancangan terhadap semua bahagian tapi perlu merancang satu demi satu, bahagian perseorangan lelaki, wanita, beregu lelaki, wanita dan beregu campuran.

“Beliau seorang jurulatih yang bagus kerana boleh berbincang dan berkongsi pengalaman,” katanya yang akan sentiasa mengingati jasa Frost kerana membawanya ke dalam skuad kebangsaan ketika berusia 17 tahun. Ditanya mengenai Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Chong Wei berkata, dia tidak mendengar sebarang maklumat mengenai tarikh perbicaraan berkenaan. “Saya tidak dengar lagi (tarikh baru), saya hanya menunggu. Saya rasa hanya mampu beraksi di Piala Sudirman saja setakat ini.

Bagaimanapun, saya tidak kisah dan meneruskan latihan. “Apa boleh buat, mental saya perlu kuat. Kemahuan saya untuk kembali beraksi masih ada kerana impian saya mahu bermain sekali lagi di Sukan Olimpik 2016 Rio,” katanya. Chong Wei mengakui jika pemain lain menghadapi situasi sama, sudah tentu mereka tidak akan turun berlatih dan hanya menunggu perbicaraan dijalankan.

“Saya datang untuk bantu pemain remaja dalam tempoh beberapa bulan ini. Kami semua satu pasukan. Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun lagi tidak akan ada pemain yang mampu menggantikan saya. “Jadi kita perlu fokus pemain remaja seperti Soo Teck Zhi, Tan Kian Meng dan beberapa pemain lagi. Bagi masa kepada mereka,” katanya.



-Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment