Wednesday, March 18, 2015

PSM simpan ‘Super Syahir’



KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan menghantar tekong emas Syahir Rosdi ke Gunsan, Korea Selatan untuk kejohanan sepak takraw Siri Super 3 pada 23-26 April ini.

Alasannya ialah pemain tinggi lampai berusia 19 tahun itu sedang menjalani pengajian prauniversiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil selain mahu menyimpannya untuk menghadapi misi lebih penting bersama skuad negara iaitu Sukan SEA XXVIII di Singapura, Jun depan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, besar kemungkinan juga gandingan Syahir ketika memenangi Siri Super 2 di Melaka bulan lalu, iaitu Khairol Zaman Hamir Akhbar, Hanafiah Dolah dan Farhan Adam tidak akan ke Gunsan untuk memberikan pengalaman kepada regu baharu.

“Kami tidak hantar Syahir kerana dia tengah belajar. Kami juga ada strategi tertentu dalam menyu­sun dan menghantar pemain ke Siri Super dan Piala Raja Thai menje­lang Sukan SEA,” katanya.

Ahmad ditemui selepas me­nyampaikan insentif sebanyak RM5,000 kepada regu juara di Melaka dalam majlis di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Taman Setiawangsa di sini kelmarin.

Regu Syahir juga dirombak apabila kali ini dia digandingkan de­ngan Affifudin Razali dan Shakirin Nasir dalam siri perlawanan ujian tiga hari dengan Korea Selatan dan Indonesia di Bukit Jalil yang bermula semalam hingga esok.

Ahmad turut mengumumkan kenaikan Affifudin dan Shakirin ke skuad elit A ekoran prestasi cemerlang mereka dalam skuad B yang memenangi 17 daripada 18 perlawanan ujian dengan kelab utara Thailand di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Jakarta akan menjadi tuan rumah pusingan akhir siri super musim 2014-15 pada 21-24 Mei, mengambil alih daripada Pekanbaru, Riau yang dibatalkan bagi siri 3.
Siri ujian dengan Korea Selatan dan Indonesia itu turut menyaksikan Khairol Zaman mendapat gandingan baharu, Hairul Hazizi Haidzir dan Safaruddin Abu Bakar.

Hanafiah pula digandingkan dengan Sahidan Md. Ali dan Amirul Zazwan Amir sementara Farhan dengan Mohamad Fazil Asri dan Masran Ab. Rahman.

Sementara itu, skuad wanita negara pula bakal berentap de­ngan pemain lelaki negeri bawah 21 tahun dalam Kejohanan Belia Kebangsaan (berpasukan) di Stadium Sukpa, Kuantan, Pahang pada 26-29 Mac ini.


UTUSAN

No comments:

Post a Comment