Wednesday, March 18, 2015

Nikmati Hiburan Dan Sukan Permotoran Dengan Hanya Satu Tiket

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memberi peluang kepada peminat untuk menonton perlumbaan bermotor sambil berhibur dengan pelbagai aktiviti karnival dengan hanya satu tiket pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia hujung minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata sesuai dengan tema "Experience F1 Like Never Before", SIC memperkenalkan beberapa acara tarikan baharu untuk menjadikan edisi ke-17 yang paling meriah.

"Bagi karnival F1, bagaimanapun, ia menawarkan lebih banyak kemeriahan. Ada juga hiburan bertaraf dunia, acara sampingan yang hanya F1 boleh menganjurkannya serta acara sampingan yang penonton hanya boleh menikmatinya di SIC.

"Sesungguhnya, ia satu pengalaman F1 yang unik yang berlangsung hanya sekali dalam setahun di Malaysia dan hanya di litar kami. Dan yang paling baik sekali, anda boleh menikmati semua ini dengan hanya satu tiket," katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui penawaran tiket dengan harga serendah RM80, SIC menganjurkan Pusingan Kedua perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia dari 27 hingga 29 Mei.

Pelbagai aktiviti menarik yang dihidangkan sempena Karnival F1 ialah "Rumah Berhantu untuk mereka yang berani, Padang Olimpik dan kawasan sukan air Zon Sejuk bagi kanak-kanak, karnival sukan dan persembahan jalanan di sekitar Kawasan Mall dan pelbagai pilihan makanan dan minuman.

Peminat F1 juga berpeluang menikmati keseronokan di Kampung F1, yang merupakan kawasan perniagaan runcit yang membolehkan mereka membeli barangan eksklusif pasukan F1 dan termasuk zon permainan berhawa dingin sepenuhnya dengan simulator F1 untuk mereka menguji kemahiran dan memenangi pelbagai hadiah hebat.

Keseronokan berterusan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Gala Grand Prix 2015 menampilkan The Jacksons di Pusat Konvensyen KLCC, yang dibuka kepada orang awam dengan tiket berharga serendah RM390.

Beliau berkata, pada Sabtu dan Ahad, peminat boleh relaks di hadapan pentas utama di kawasan Mall dan menonton pelbagai persembahan sepanjang dua hari yang penyertaan aksi deejay tempatan, persembahan tempatan serta persembahan tarian.

"Bagi hari perlumbaan pada Ahad, saya mengesyorkan kepada peminat supaya jika boleh datang awal ke litar. Ini bukan sahaja untuk mengelakkan kesesakan trafik tetapi untuk menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan untuk hari minggu yang istimewa," katanya.

Aksi di litar bermula dengan perlumbaan sokongan kedua iaitu Siri Kejohanan Malaysia (MCS) dahulu dikenali sebagai Super Siri Malaysia (MSS) dan Siri Antarabangsa TCR yang baru dilancarkan.

Karnival F1 dan aktiviti sokongan, bermula seawal 9 pagi sebelum pelbagai aktiviti menarik pada program off-track rasmi bermula percuma hanya untuk pemegang Tiket F1.

Pada hari perlumbaan, pentas utama di kawasan Mall akan menampilkan aksi bintang perlumbaan bermula tengah hari dengan sidang media khas dan sesi bertemu-dan-menyambut untuk pemenang bertuah sementara persembahan Kpop bermula dengan After-Race-Concert, Girls Generation dan SHINee.

Sembilan puluh minit sebelum perlumbaan, 22 pemandu yang bertanding akan diperkenalkan secara rasmi kepada penonton apabila mereka akan mengelilingi trek sepanjang 5,543 meter dengan menaiki bas tanpa bumbung diikuti Ratu Jazz Malaysia Datuk Shiela Majid memulakan penampilan dengan persembahan Lagu Kebangsaan.

"Tidak seperti beberapa tahun lalu, kami akan memulakan perlumbaan tahun ini pada 3 petang," kata beliau sambil menambah bahawa perlumbaan akan berlangsung sebanyak 56 pusingan dan dijangka berakhir menjelang 5 petang.

Tiket-tiket untuk Grand Prix Malaysia F1 Petronas boleh dibeli secara online di www.sepangcircuit.com atau menelefon talian hotline tiket di 603-87782222 atau di kiosk promosi di Nu Sentral, KLCC dan dan Paradigm Mall.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment