Monday, March 16, 2015

Mohd Zamri Salleh Puashati Dengan Keputusan Positif TSG Pada LTdL 2015

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Kapten pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh berpuashati dengan keputusan positif yang dicatatkan oleh pasukan itu pada edisi ke-20 Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir di Dataran Merdeka, hari ini.

Pasukan yang dibimbing jurulatih dari Perancis, Sebastian Duclos itu meraih kedudukan podium menerusi Anuar Manan dan Mohd Adiq Husainie Othman, masing-masing pada peringkat pertama di Langkawi pada Ahad dan peringkat kelima dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang, Khamis lepas.

"Kalau dibandingkan dengan musim lepas, pasukan kita banyak menunjukkan peningkatan pada tahun ini terutamanya dari kedudukan pasukan Asia secara keseluruhan," katanya.

Mohd Zamri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Jelajah LTdL 2015 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Beliau menduduki tangga ke-65 daripada 112 pelumba pada peringkat kelapan LTdL sejauh 96.1km dari Kuala Kubu Bharu ke Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Mohd Zamri mengakui pasukan itu memerlukan pelumba yang mempunyai kepakaran dalam laluan pendakian pada kejohanan mendatang memandangkan sebahagian besar pelumba pasukan TSG berkebolehan dalam acara pecut seperti Anuar dan adiknya, Mohd Hariff.

"Kalau boleh, kita mahu pelumba yang boleh 'deduct' pelumba TSG ke hadapan terutamanya dalam zon pendakian dalam mana-mana kejohanan," katanya.

Turut berkongsi pandangan adalah Mohd Hariff yang berpuashati dengan pencapaian pasukan TSG kerana kali terakhir mereka meraih kedudukan podium pada edisi 2012 menerusi beliau sendiri dan Anuar Manan.

"Kehadiran jurulatih, Sebastian Duclos pada tahun lepas turut membawa perubahan positif kepada pasukan yang mencatat keputusan memberangsangkan pada LTdL kali ini," kata anak jati Kuala Terengganu itu yang gagal menamatkan perlumbaan.

Anuar muncul pelumba terbaik negara pada peringkat kelapan, hari ini selepas menduduki tangga ketujuh dengan catatan dua jam 27 saat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment