Wednesday, March 11, 2015

Mohd Hariff Idam Kemenangan Podium Peringkat Keempat LTdL 2015

TANAH MERAH, 10 Mac (Bernama) -- Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Hariff Salleh yakin mampu bangkit mencatat keputusan membanggakan pada peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, dari Kota Baharu ke Kuala Berang sejauh 165.4km, esok.

Pada perlumbaan peringkat ketiga dari Gerik ke Tanah Merah sejauh 170km hari ini, beliau sekadar menduduki tempat ke-68.

"Peringkat keempat esok ada beberapa laluan landai dan InsyaAllah saya akan cuba mendapat kemenangan podium," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan tersebut.

Mengenai perlumbaan hari ini, anak jati Kuala Terengganu itu mengakui laluan berbukit di Titiwangsa yang berada pada ketinggian 1,006 meter dari paras laut menjadi punca mereka gagal mencatat keputusan cemerlang.

"Kami tahu bukan mudah bersaing dengan pelumba profesional pada laluan tersebut, jadi saya dan rakan sepasukan hanya menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan.

"Kami banyak berlatih di laluan landai serta berbukit sebelum ini tapi saya akui kekuatan pelumba profesional terutamanya di laluan berbukit seperti di Titiwangsa terlalu sukar untuk dicabar," kata Mohd Hariff.

Berkongsi pandangan sama adalah pelumba senior kebangsaan, Loh Sea Keong yang menyifatkan perlumbaan peringkat ketiga itu adalah yang paling mencabar.

"Laluan memang sukar terutama selepas pelumba mula melakukan pecahan dengan meninggalkan kelompok pelumba lain pada zon pecutan di Tasik Banding dan kami hanya mampu mengejar dari belakang memandangkan kami perlu menghadapi laluan berbukit selepas itu," kata anak jati Kelantan itu.

Beliau, bagaimanapun yakin pelumba negara terutamanya daripada pasukan TSG mampu meraih keputusan positif pada peringkat keempat.

Kesemua 131 pelumba akan bersaing pada peringkat keempat yang melibatkan tiga zon pecutan di Pasir Puteh, Jertih dan Permaisuri serta satu zon pendakian di Sungai Tong, Terengganu, esok.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment