Thursday, March 26, 2015

Mohd Faizal Tidak Terkecuali Jalani Ujian Kecergasan - Beng Hai

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pemain hoki negara, Mohd Faizal Saari tetap tidak terkecuali untuk menjalani ujian kecergasan seperti mana pemain-pemain lain untuk dipilih menyertai skuad kebangsaan, kata pengendali sementara skuad hoki kebangsaan, Tai Beng Hai.

Mohd Faizal, 24, yang mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan menghilangkan diri selepas mewakili negara dalam Liga Hoki Dunia di Singapura, telah melapor diri untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan petang semalam.

Menurut Beng Hai, ujian kecergasan itu akan dijalankan dalam beberapa hari bermula pagi esok.

"Dalam kes Faizal Saari, sama ada beliau akan bermain dalam Piala Sultan Azlan Shah, kami perlu memikirkan beberapa perkara. Pertama, bolehkan kami membuatkan beliau cergas untuk bermain dengan baik kerana ia adalah kejohanan antarabangsa.

Dalam suasana kejohanan, kami juga ingin memastikan beliau tidak cedera," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan untuk Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Penajaan berjumlah RM1.86 juta daripada 22 penaja itu diterima bagi pihak penganjur oleh penaung kejohanan, Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah.

"Beliau (Mohd Faizal) perlu melalui proses sama seperti pemain lain. Saya rasa semua pemain kena faham apabila mewakili negara, mereka perlu letakkan maruah negara pada satu tahap tertinggi," kata Beng Hai.

Buat masa ini, Beng Hai berkata 25 pemain termasuk Mohd Faizal menjalani latihan dan beliau akan menilai beberapa pemain dari skuad remaja dalam membuat pilihan pemain yang terbaik untuk pusingan ketiga Liga Hoki Dunia pada Jun depan.

"Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah adalah antara kejohanan yang menjadi asas pemilihan kerana ia adalah kejohanan yang terbaik dunia. Pemilihan akhir untuk Piala Sultan Azlan Shah akan dilakukan dalam masa terdekat...kami akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan New Zealand pada Khamis depan di Ipoh," katanya.

Katanya melalui perlawanan persahabatan berkenaan beliau akan memilih 18 pemain untuk menggalas cabaran negara dalam kejohanan berkenaan yang dijadualkan pada 5 hingga 12 April ini.

Mengenai persediaan untuk menghadapi pusingan ketiga Liga Hoki Dunia, beliau berkata tumpuan latihan terarah kepada aspek kecergasan pemain kerana apabila memasuki pusingan ketiga liga berkenaan, tahap kecergasan yang tinggi diperlukan.

"Kami akan melebihkan tumpuan kepada tahap kecergasan. Pusingan ketiga adalah suatu perlawanan yang mempunyai standard yang tinggi. Kita perlu menjadikan pemain-pemain kita lebih cergas," katanya.

Selain aspek kecergasan pemain, beliau juga akan memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti semasa di Singapura pada Januari lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment