Friday, March 13, 2015

Mohd Adiq Husainie Gembira Raih Tempat Ketiga Peringkat Kelima LTdL 2015

KUANTAN, 12 Mac (Bernama) -- Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Adiq Husainie Othman berpuas hati dengan kejayaannya meraih tempat ketiga pada peringkat kelima jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 dari Kuala Terengganu ke Kuantan, sejauh 200km, Khamis.

Beliau muncul pelumba kedua negara yang melakar kedudukan podium selepas rakan sepasukannya, Anuar Manan menduduki tangga ketiga pada peringkat pertama LTdL 2015 sejauh 99.2km di Langkawi, Ahad lepas.

"Saya berterima kasih kepada Loh Sea Keong yang membuka laluan kepada saya untuk naik ke podium. Mungkin tanpa kerjasama dia, saya tidak akan berjaya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan tersebut.

"Tidak lupa juga kepada rakan sepasukan, keluarga dan juga jurulatih TSG, Sebastian Duclos (dari Perancis) yang banyak memberikan kata-kata perangsang kepada saya," katanya.

Mohd Adiq Husainie menyifatkan momentum perlumbaan hari ini agak laju kerana laluan yang landai selain kumpulan 'breakaway' bertindak memecut awal pada 25km terakhir sehingga meninggalkan kumpulan peloton dengan jurang masa yang agak jauh.

Pada masa sama, pelumba kelahiran Kemaman itu optimis dapat merampas semula jersi putih selaku pelumba terbaik Asia daripada pendahulu, Zhang Wenlong daripada pasukan Giant-Champion System Pro Cycling Team memandangkan beliau ketinggalan 11 minit di belakang pelumba China itu.

Dalam pada itu, Sea Keong, yang juga pelumba senior kebangsaan merasa terkilan kerana gagal mendapat kedudukan podium walaupun pada satu ketika berada pada kedudukan selesa pada babak akhir perlumbaan.

Beliau menjelaskan peluang untuk membuka laluan kepada Mohd Adiq Husainie dibuat memandangkan ia tidak selalu hadir dalam mana-mana perlumbaan.

"Tiada kesilapan dari segi strategi berbanding dengan pelumba terdahulu, mungkin tiada rezeki untuk diri sendiri," katanya.

"Saya akan nilai semula persembahan saya sebagai satu panduan untuk meraih keputusan lebih baik," jelas anak jati Kelantan itu yang menjangkakan peringkat keenam, esok bakal dikuasai pelumba pecut.

Sejumlah 124 pelumba bakal bersaing pada peringkat keenam sejauh 96.6km dari Maran ke Karak melibatkan tiga zon pecutan di Chenor, Temerloh dan Mentakab.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment