Tuesday, March 17, 2015

LTdL 2015 lakar sejarah sendiri



KEJOHANAN berbasikal Proton Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 me­labuhkan tirai di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur kelmarin setelah mengharungi lapan peringkat perlumbaan bermula di Langkawi pada 8 Mac lalu.
Pelbagai kenangan pahit dan manis dilalui pelumba, kru dan petugas media sepanjang lapan hari perlumbaan berstatus Hors 2.0 itu dengan jarak perlumbaan sejauh 1,118 kilometer.
Apa yang pasti, sejarah pelumba negara kembali menaiki podium sekali lagi tercipta selepas kali terakhir dilakukan oleh Anuar Manan pada 2010. Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu akhirnya berjaya menunaikan hajat dan janji apabila menaiki podium selaku pemenang ketiga pada peringkat pertama di Langkawi.

Langkah kanan pasukan TSG berte­rusan menerusi Mohammed Adiq Husainie Othman yang melakar kejutan dengan dinobatkan selaku Juara Asia (Jersi Putih). Biarpun hanya berjaya mempertahankan Jersi Putih hanya satu peringkat, kejayaan Adiq Husainie itu telah berjaya melonjakkan tanda aras pencapaian pelumba negara yangmana sebelum ini hanya setakat terbaik Malaysia.

Penyertaan sulung pasukan Majlis Sukan Negara, NSC Cycling Team juga perlu diberi perhatian terutama Mohammed Afiq Huznie yang kini berada dalam kelompok terbaik pakar mendaki.
Beraksi tanpa sebarang harapan tinggi, NSC Cycling Team yang dibarisi pelumba muda dilihat mampu memberi tekanan tersendiri kepada pelumba senior negara seandainya selepas ini kekal dengan semangat yang dipamerkan sepanjang Proton lTdL.

Skrip berbeza pula dihadapi oleh pasukan kebangsaan apabila terpaksa berdepan dengan pelumba yang degil. Malah, pelumba berpengalaman, Loh Sea Keong hampir ‘naik angin’ dengan kerenah pelumba muda yang degil serta gagal berfungsi sebagai satu pasukan yang baik.

Edisi kali ini juga menyaksikan perlumbaan dipendekkan kepada lapan peringkat juga seolah membuka peluang kepada bintang Astana Pro Team, Andrea Guardini melebarkan lagi penguasaan pada saingan jelajah tersebut. Berada di kelas tersendiri dengan 18 kemenangan, ‘Mr. Langkawi’ itu bagaimanapun masih gagal menutup saingan selaku juara keseluruhan dan membawa pulang Jersi Kuning

Saingan musim ini juga menyaksikan kebangkitan luar biasa pelumba kelahiran Australia-Korea Selatan, Caleb Ewan. Paling utama, bintang Orica-Greenedge itu berjaya menjadi pencabar paling sengit buat Guardini sepanjang perlumbaan.

Buat sekian kalinya, pasukan Pro Team terus kekal menguasai perlumbaan yang dinaungi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed itu.

Penganjuran

Dari segi penganjuran, Human Vo­yage Sdn. Bhd. yang diberi tanggungjawab mengelolakan kejohanan buat julung-julung kali dapat melaksanakan tugas dengan jaya walaupun kekangan masa yang terhad selain bertembung dengan beberapa kejohanan berbasikal antarabangsa lain.
Hal itu diakui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Malik Mydin yang menjelaskan, mereka terpaksa berdepan beberapa saingan kejohanan lain terutama di benua Eropah seperti Tour Paris-Nice yang sedang berlangsung di Perancis.

Katanya, LTdL kali ini turut berjaya menepati sasaran terutama dari segi liputan media antarabangsa dalam menarik lebih ramai pelumba terkemuka dunia untuk datang beraksi.
“Kita akan berbincang semula (dalam memperbanyakkan lagi) penyertaan pasukan profesional. Berkenaan dengan tarikh (bagi edisi 2016), kita akan lihat semula kerana kita mempunyai masa yang panjang selain beberapa aspek lain yang perlu ditambah baik.

“Kita tidak boleh kata kita (penganjur) yang terbaik. Kita tidak berhenti (di sini sahaja) dan akan terus berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan,” kata Malik.

Lebih menarik, edisi ke-20 ini meliputi tujuh negeri dilaporkan hanya menelan perbelanjaan keseluruhan RM10 juta, iaitu penjimatan RM9 juta berbanding tahun lepas yang mencecah RM19 juta.

Dalam pada itu, memetik kata-kata Pengarah Teknikal LTdL 2015, Geoff Kronenburg, memang banyak kelemahan yang timbul dan mereka tidak menafikannya kerana kekangan masa.
“Saya akui ada beberapa masalah dan kritikan terutama apabila laluan ke Genting Highlands ditukar ke Bukit Fraser. Bagaimanapun, secara keseluruhan terutama perlumbaan itu sendiri, ia berjalan dengan lancar dan itu paling utama.

“Tahun depan, dengan jarak masa yang lebih panjang untuk membuat persediaan, saya yakin perlumbaan ini mampu menjadi lebih baik,” katanya.
Menyentuh mengenai sama ada akan mengekalkan laluan Bukit Fraser pada tahun depan, Kronenburg menjelaskan, ia masih dalam perancangan.

“Mungkin ya, mungkin tidak. Biarpun mendapat reaksi positif daripada pelumba mengenai laluan Bukit Fraser, untuk menjadikannya sebagai laluan utama dalam saingan pada masa hadapan, itu agak sukar diperkatakan. Kalau boleh, kita mahu laluan perlumbaan dipelbagaikan dan pada masa yang sama, kita kekal dengan status Hors 2.0 itu,” ujarnya.

Berharap mampu menarik lebih banyak penaja pada tahun depan, Kronenburg bagaimanapun enggan mendedahkan kos sebenar penganjuran kali ini.



KOSMO

No comments:

Post a Comment