Friday, March 27, 2015

Kerajaan Terus Sokong Formula 1 Demi Impak Ekonomi - Najib

SEPANG, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk terus menyokong Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia kerana ia memberi impak baik daripada segi ekonomi kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dengan mengambil kira impak ekonomi daripada acara berprestij ini kepada Malaysia, termasuk kemunculan pelbagai industri dan perniagaan sampingan untuk menyokong Formula 1,"kerajaan memperakui kepentingan dan relevanan, dan memutuskan untuk terus menyokongnya."

Formula 1 dianggap acara sukan tahunan terbesar dan paling berprestij negara ini dan berjaya menarik ramai peminat sukan permotoran dari seluruh pelosok dunia," katanya dalam perutusan dalam buku program rasmi Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia.

Najib berkata Grand Prix Malaysia pertama kali diadakan pada 1999 dan tahun ini merupakan edisi ke-17, telah berkembang maju daripda segi kedudukan dan populariti, dan telah memberi banyak pendedahan positif tentang Malaysia.

"Lebih 500 juta penonton daripada lebih 180 negara mengikuti perlumbaan ini di TV, dan ramai lagi yang mengikutinya menerusi akhbar dan platform media sosial," kata Perdana Menteri dan menurut beliau bagi 16 tahun lalu secara berturut-turut, ribuan peminat telah berkunjung ke Litar Antarabangsa Sepang untuk menonton grand prix itu.

Menyentuh tentang perlumbaan akan datang, Najib mengalu-alukan kedatangan Juara Dunia ketika ini Lewis Hamilton dan pasukan Mercedes tajaan Petronas yang "kembali ke gelanggang sendiri" buat pertama kalinya sejak kemenangan sensasi dua gelaran tahun lepas.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Mercedes AMG Petronas F1, dan Lewis Hamilton bagi musim 2014 yang cemerlang; kami berharap mereka terus mencipta kejayaan musim ini," katanya.

Untuk rekod, Hamilton mengatasi rakan sepasukan Nico Rosberg untuk membolehkan Mercedes mendominasi kemenangan perlumbaan musim pembukaan pada Grand Prix Australia di Melbourne, dua minggu lepas.

Najib menyatakan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kementerian Belia dan Sukan dan semua agensi kerajaan yang terbabit dalam acara itu.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pengurusan dan pasukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas usaha tanpa mengenal erti penat lelah mereka dalam memastikan semua persediaan dan keperluan untuk menganjurkan perlumbaan ini dipenuhi.

"Kepada beratus-ratus pegawai perlumbaan, sukarelawan dan petugas lain yang terlibat, terima kasih atas bantun anda untuk memastikan Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia 2015 berlangsung dengan selamat dan jayanya," katanya.

Najib mengucapkan selamat maju jaya dalam perlumbaan pada hujung minggu ini kepada semua pemandu dan pasukan.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment