Thursday, March 12, 2015

Jiwa kental Chong Wei



Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock mengaku semangat Datuk Lee Chong Wei sangat luar biasa walaupun berada dalam situasi paling digeruni semua atlet terbaik dunia.

Menurutnya, selepas mengetahui tarikh Panel Pendengaran Doping Perseketuan Badminton Dunia (BWF) perkara kedua yang ditunggu Chong Wei selepas ini adalah berita gembira (hukuman minimum).

“Saya harap sangat perbicaraan itu akan memberikan khabar gembira. Kita tidak tahu benda seperti ini akan terjadi dan tidak mahu menuding jari kepada sesiapa,” katanya.

Jelas Seu Bock, sepanjang lima bulan Chong Wei dikenakan penggantungan sementara BWF, bekas pemain nombor satu dunia itu nampak tertekan seperti tidak tahu arah tujunya.

“Bagaimanapun, dia masih terus berlatih bersungguh-sungguh. Bukan mudah seorang pemain yang berada pada tahap tinggi masih sanggup tunggu (tarikh perbicaraan) dan sabar.

“Saya rasa sukar bagi orang lain hendak lakukan seperti Chong Wei. Kalau hendak diikutkan statusnya dia tidak perlu bersabar dan tunggu kerana semua sudah ada dalam hidupnya,” kata bekas pemain negara itu.

Ujarnya, Chong Wei masih lagi meletakkan harapan dalam sukan badminton dan mahu terus berbakti untuk negara.

“Saya bangga dengan perwatakannya kerana masih hendak memberi tentangan kepada pemain lain. Bukan sukar seorang pemain yang berada pada tahap tinggi untuk putus asa dan mahu berjuang hingga Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya motivasi itu, tapi itulah perwatakan sebenar Chong Wei. Dia tidak mudah mengaku kalah dan berdalih seolah-olah mengalami kecederaan,” katanya.
Seu Bock berkata, semangat Chong Wei tetap sama dan sentiasa memberikan motivasi kepada dirinya sendiri.

“Kalau BWF mahu menjalankan perbicaraan, dia sudah lama bersedia. Dia bukan seorang individu apabila hujan baru hendak cari payung, tapi sentiasa bersedia. Saya sudah empat tahun bersamanya dan mula mengenalinya sejak Indra Gunawan menjadi ketua jurulatih perseorangan negara pada 2002.

“Saya nampak dia lagi bersemangat selepas mengetahui tarikh perbicaraan (11 April). Pagi semalam (kelmarin) dia datang berlatih walaupun sudah mengetahui tarikh berkenaan,” katanya.



Oleh Ferzalfie Fauzi
Arena- Harian Metro

No comments:

Post a Comment