Thursday, March 19, 2015

Elak Guna Padang Sintetik Di Stadium Nasional - Khairy

PETALING JAYA, 18 Mac (Bernama) -- Penggunaan rumput jenis 'Cow Grass' di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah percubaan terakhir dan diharap mencapai kesesuaian untuk digunakan bagi mengelak penggunaan padang sintetik.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata pelbagai jenis rumput telah cuba ditanam di padang stadium berkenaan seperti 'paspalum' dan 'bermuda' namun kedua-duanya terbukti tidak sesuai digunakan.

"Kalau Cow Grass pun tidak mahu tumbuh di padang itu, saya pun tidak tahulah. Ini bukan salah saya tapi perkara ini dari dahulu lagi, paspalum dan bermuda pun kita dah cuba.

"Ini adalah percubaan terakhir, tidak ada rumput jenis lain melainkan kita pergi sintetik tapi bagi saya stadium nasional tidak boleh guna sintetik...kena juga rumput asli," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2014 di sini, hari ini.

Isu padang di stadium nasional itu sering menjadi perdebatan peminat bola sepak tempatan ekoran permukaan padang yang tidak berkualiti.

Pada 2013, Khairy mengarahkan Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup selepas aduan bahawa keadaan padang di stadium berkenaan tidak sesuai sehingga memaksa perlawanan persahabatan antara Barcelona FC dan Malaysia ditukar ke Stadium Shah Alam pada saat-saat akhir.

Penukaran rumput di stadium itu sebelum ini menelan belanja RM1.5 juta dan kementeriannya mencuba dua jenis rumput iaitu rumput jenis 'Cow Grass' dan 'Bermuda Green Mountain'.

Selepas dibaik pulih, Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 Nov lepas namun sekali lagi kualiti padang menjadi isu besar dan memaksa usaha membaik pulih dijalankan semula.

Pada ketika itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mempunyai masa kira-kira sebulan untuk membaik pulih padang stadium berkenaan jika Harimau Malaya layak ke pusingan seterusnya Piala AFF Suzuki 2014.

Malangnya, Stadium Nasional Bukit Jalil tetap gagal menjadi venue pilihan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Harimau Malaya dan Vietnam berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati padang di situ masih belum sesuai digunakan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment