Tuesday, March 24, 2015

Di Mana Pemain Bola Jaring Remaja?

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Tiada kelibat pemain remaja negara dalam Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan ke-31 yang berakhir semalam memberi petanda kurang baik dalam proses pembangunan sukan berkenaan.

Meskipun acara bola jaring tersenarai antara penyumbang pingat pada temasya Sukan SEA dan pernah mengungguli gelaran Remaja Asia lima kali berturut-turut, namun kejohanan kebangsaan itu dilihat 'sepi' apabila hanya lima peratus sahaja daripada pemain adalah mereka yang berumur antara 18 dan 20 tahun.

Di manakah pemain remaja negara? Itu persoalan yang dibangkitkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang melihat sendiri realiti 'kerencatan' pembangunan sukan bola jaring negara.

"Di mana pemain-pemain yang berusia 18,19 dan 20 tahun...kejohanan ini untuk mereka yang di bawah 21 tahun. Patutnya kita dapati mereka yang umur 18,19 dan 20 sebab ini kejohanan remaja tapi apa yang ada hari ini adalah mereka dalam usia 16 dan 17 tahun," katanya.

Dalam usaha Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM) mencari justifikasinya acara itu disenaraikan dalam temasya Sukan SEA 2017, persatuan-persatuan negeri pula menyambut dingin usaha itu dengan hanya menyediakan barisan pemain dalam kalangan pelajar sekolah menengah menyertai kejohanan peringkat remaja baru-baru ini.

Tindakan ini, jelas menampakkan tidak ada kesinambungan dalam penghasilan bakat dalam sukan bola jaring negara, sekali gus membimbangkan MSN serta PBJM yang mempunyai hasrat tinggi untuk menjadikan sukan bola jaring antara sukan yang diminati ramai selain bola sepak.

"Apa yang kita dapati persatuan di negeri-negeri banyak menggunakan pemain peringkat sekolah. Ini kerja paling senang dengan melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah untuk membuat tugas pembangunan dan mencari bakat.

"Ini satu perkembangan yang tidak baik. Persatuan negeri kena bantu PBJM sebab PBJM dah buat apa yang mampu untuk sediakan platform kejohanan tapi kalau persatuan negeri tidak membantu, ini akan menimbulkan masalah besar kepada negara," kata Ahmad Shapawi.

Justeru, beliau menggesa semua persatuan negeri agar membantu PBJM untuk memastikan pemain lepasan sekolah terus aktif berlatih walaupun ada dalam kalangan mereka tidak dapat memberi komitmen secara sepenuh masa.

Katanya, apa yang penting kepada pemain adalah latihan berterusan bagi meningkatkan stamina selain memperkasakan kemahiran manakala bagi pemain di peringkat sekolah, mereka boleh menyertai kejohanan anjuran peringkat sekolah dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

"Walaupun tidak dapat berlatih sepenuh masa tapi sekurang-kurangnya mereka perlu ada latihan berpusat di peringkat negeri untuk pastikan mereka yang lepasan sekolah terus bermain bola jaring," katanya.

Selain itu, Ahmad Shapawi berkata institusi pengajian tinggi (IPT) juga diminta bekerjasama dengan persatuan negeri dalam usaha mempopularkan sukan itu di IPT di samping menyediakan ruang atau platform sebagai pusat latihan pemain negeri.

Sementara itu, Presiden PBJM, Datuk Suraya Yaacob berkata sambutan penyertaan kali ini memang baik namun tidak mencapai objektif asal dalam usaha mengenal pasti bakat pemain dalam kalangan pemain remaja.

"Ini kejohanan remaja kebangsaan, tapi kebanyakan adalah pelajar sekolah. Ini kurang kompetitif, mereka bermain pada tahap sesama mereka sahaja," katanya, yang agak kesal dengan tindakan 'ambil mudah' persatuan negeri.

Menurut beliau, PBJM bukan sahaja mencari calon pemain yang berpotensi, malah turut menitik beratkan fizikal dan bentuk tubuh badan yang sesuai untuk disenaraikan dalam pasukan remaja dan juga skuad kebangsaan.

Sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA di Singapura Jun depan, skuad kebangsaan telah menyenarai pendek 14 daripada 28 pemain untuk mengikuti latihan pusat fasa keempat di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan pada 4 hingga 11 April sebelum berlepas ke Perth, Australia.

Di bawah kendalian jurulatih Aminah Ashaari dan Huslina Mohd Hussin, mereka akan mengikuti latihan fasa kelima sebelum senarai akhir 12 pemain dimuktamadkan.

Kali pertama dan terakhir acara bola jaring dipertandingkan pada Sukan SEA ialah di Kuala Lumpur pada 2001, yang menyaksikan pasukan negara menjuarai acara itu.

Skuad negara juga pernah meraih pingat emas Kejohanan Asia pada 1985 dan pingat perak pada edisi 1990, 1997 dan 2005 dalam kejohanan yang turut disertai Sri Lanka, Singapura, Brunei, India, Hong Kong, Thailand, Vietnam, Jepun dan Myanmar.

Skuad remaja pula merupakan Juara Remaja Asia lima kali berturut-turut sejak gelaran diraih pertama kali di Sri Lanka pada 2004, 2006 dan 2010 di India, 2008 di Hong Kong dan 2013 di Brunei.

Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa (INF) pada 20 Dis 2014, Malaysia berada di tangga ke-23 manakala pencabar terdekat Singapura di tangga ke-17.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment