Monday, March 02, 2015

Beregu wanita pasang misi besar, buru pingat Olimpik!






KUALA LUMPUR – “Kenapa, tak percaya?.”

Itu soalan yang diajukan jurulatih badminton beregu wanita, Rosman Razak kepada pemberita sebaik saja dia mengumumkan misinya pada Sukan Olimpik 2016 di Rio adalah membawa pasangan Malaysia merangkul pingat tanpa mengira warna. 

Selama ini, sasaran pi­ngat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya dile­takkan di bahu pemain perseorangan dan beregu lelaki yang merupakan penyumbang utama pingat sejak Temasya Barcelona 1992. 

Bagaimanapun Rosman percaya, momentum baik yang ditunjukkan pemainnya, terutama Woon Khe Wei-Vivian Hoo dan Amelia Alicia Ancelly-Soong Fie Cho memberi harapan kepadanya bahawa beregu campuran juga mampu menghasilkan sesuatu. 

Khe Wei-Vivian, yang kini meng­huni ranking ke-17 dunia menjadi beregu wanita Malaysia pertama meraih pingat pada Sukan Asia dalam tempoh 44 tahun selepas membawa pulang gangsa di Incheon, Korea Selatan tahun lalu.

Sebulan sebelum itu, pasangan tersebut turut merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow.

Amelia-Fie Cho pula melakar kejutan muncul juara Terbuka India, Januari lalu selepas menewaskan Khe Wei-Vivian dalam perlawanan akhir. 

Semalam, Khe Wei-Vivian terkandas pada separuh akhir Terbuka Jerman selepas tumpas 13-21, 21-15, 18-21 kepada beregu Indonesia, Della Destiara Haris-Rosyita Eka Putri Sari. Namun sehari sebelum itu, pasangan tersebut mengejutkan beregu pilihan dari Korea Selatan, Lee Soo-hee-Shin Seung-chan 21-16, 21-7 di suku akhir. 

“Pada saya, kita perlu mele­takkan sasaran tinggi kerana kami tidak mahu berada di tempat yang sama saja. 

“Kami sudah menang di Sukan SEA dan Sukan Komanwel. Kami pernah meraih pingat pada Sukan Asia, jadi sekarang kami boleh raih lebih daripada itu. 

“Oleh kerana sasaran kami tinggi, kami kena bekerja lebih keras daripada sekarang sehingga matlamat tercapai. 

“Sebagai jurulatih, saya percaya pemain saya boleh melakukannya. Setiap hari adalah proses pembelajaran buat kami,” kata Rosman ketika dihubungi di Jerman, semalam. 

Beregu wanita negara berdepan laluan berduri apabila memulakan kempen kelayakan ke Sukan O­limpik pada kejohanan All England yang bermula esok.

Khe Wei-Vivian akan berdepan pilihan keenam dari Jepun, Reika Kakiiwa-Miyuki Maeda dalam aksi pembukaan, manakala Amelia-Fie Cho memulakan kempen dengan menentang Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dari India. 

Jika berjaya melepasi halangan pertama, Khe Wei-Vivian akan bertemu beregu dari pusingan kelayakan di pusingan kedua, sebelum berdepan pasangan No. 1 dunia, Tian Qing-Zhao Yunlei dari China di suku akhir. Amelia-Fie Cho pula akan berdepan Tian Qing-Yunlei seawal pusingan kedua.



UTUSAN

No comments:

Post a Comment