Wednesday, March 04, 2015

BAM Terima Tajaan Victor Bernilai RM60 Juta

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menerima tajaan berjumlah RM60 juta daripada syarikat pembekal peralatan sukan, Victor dari Taiwan untuk tempoh enam tahun.

Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata syarikat tersebut kini menjadi penaja utama bagi membekalkan peralatan sukan kepada pemain badan induk badminton negara itu, menggantikan Sunrise Yonex yang telah menjadi penaja utama BAM selama 15 tahun, sebelum ini.

Tengku Mahaleel berkata Victor adalah syarikat pembekal peralatan sukan badminton dunia yang menggunakan teknologi terkini untuk produknya.

"Victor akan memberi peralatan sukan kepada pemain badminton di bawah BAM, selain itu penajaan tersebut dapat memperkukuhkan kewangan BAM bagi melancarkan program pembangunan badminton.

"Kita menyahut saranan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) supaya persatuan sukan lebih bersifat berdikari dalam mencari penajaan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Tengku Mahaleel menandatangani kontrak penajaan dengan Pengerusi Victor, Chen Den-Li di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Victor (Malaysia) Datuk Alex Ong berkata beliau yakin penajaan tersebut dapat membantu BAM dalam melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk mengembalikan kegemilangan sukan badminton negara.

"Pihak kami berharap BAM dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat besar seperti Datuk Lee Chong Wei terutamanya dalam mencapai sasaran meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik dan kejuaraan dunia pada masa akan datang.

"Kami menyediakan peralatan sukan berteknologi terkini dan buktinya pemain badminton bertaraf dunia dari Korea Selatan turut menggunakan peralatan produk kami dalam meningkatkan prestasi mereka dalam badminton," kata Alex.

Syarikat tersebut adalah penaja skuad badminton Korea Selatan pada 2008 dan membantu pasukan berkenaan meraih kejuaraan Piala Sudirman 2009, Piala Uber 2010 dan Piala Thomas 2012 serta meraih pingat emas menerusi Lee Yong Dae-Lee Hyo-jung pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Victor ditubuhkan pada 1968 dan telah berkembang daripada kilang membuat bulu tangkis, kini berjaya menembusi pasaran dunia dengan produk berteknologi terkini seperti raket badminton, gelanggang, pakaian, kasut dan aksesori lain.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment