Thursday, March 19, 2015

BAM serius selesai isu kontrak



PERTEMUAN antara Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen dan pengurusan tertinggi badan induk itu untuk membincangkan isu kontrak dan kenaikan gaji jurulatih akan diadakan dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) berkata, beliau akan cuba mencari jalan penyelesaian agar hasrat Frost untuk membentuk struktur kejurulatihan yang lebih baik tercapai.

“Kami akan mengadakan mesyuarat dan kami akan melihat kertas cadangan beliau. Dari segi kenaikan gaji, saya percaya kami mampu memberikan yang terbaik kepada Frost untuk melaksanakannya.

“Dari segi perancangan untuk membawa masuk jurulatih baharu, selepas kami bersetuju dengan cadangan itu baru Frost akan memberikan usulnya secara keseluruhan.

“Mesyuarat itu akan diadakan secepat mungkin kerana kami tidak mahu menangguh lagi proses ini dan saya sangat berharap ia akan selesai sebelum (Kejohanan Badminton Siri Super Premier) Terbuka Malaysia bermula,” kata Norza semalam.

Terdahulu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek memberitahu bahawa beliau akan menilai dahulu kontrak baharu yang akan ditawarkan oleh BAM sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mahu kekal atau tidak bersama BAM.

Kontrak Rashid ber­akhir pada 31 Disember tahun lalu, namun BAM melanjutkan kontrak beliau bersama lima lagi jurulatih elit negara, Tey Seu Bock, Wong Tat Meng, Pang Cheh Chang, Rosman Razak dan Jeremy Gan sehingga hujung Mac ini.

Frost turut mengakui, permintaan Rashid untuk dinaikkan gaji sebagai alasan yang munasabah dan beliau berharap dapat mengusulkan cadangan itu kepada pengurusan tertinggi BAM sebelum menawarkan kontrak baharu kepada barisan jurulatih tersebut.

Dalam perkembangan lain, Norza percaya, ketiadaan bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei pada Terbuka Malaysia yang akan bermula 31 Mac ini hingga 5 April depan akan memberi peluang kepada rakan senegara yang lain mencuri tumpuan pada kejohanan berprestij itu.

“Ketiadaan Chong Wei akan mengurangkan kemeriahan kerana dia legenda dalam kejohanan ini, namun sebagai pe­nganjur kami akan mencari jalan untuk memastikan pemain-pemain pelapis turut menyerlah kerana bagi saya inilah peluang mereka untuk bangkit.

“Saya harap pemain-pemain Malaysia yang lain mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan Chong Wei, tidak kisah daripada pemain perseorangan atau beregu. 

“Saya percaya pencapaian beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mara ke final pada Terbuka Switzerland baru-baru ini juga akan menjadi pemangkin kepada mereka pada Terbuka Malaysia,” jelas Norza.



KOSMO

No comments:

Post a Comment