Friday, March 27, 2015

BAM mansuhkan ketua jurulatih



KUALA LUMPUR – Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen akan memansuhkan jawatan ketua jurulatih dalam penstrukturan semula barisan kejurulatihan sedia ada.

Dia juga tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan yang menyaksikan beberapa jurulatih elit akan ditukarkan ke bahagian lain yang bersesuaian.

Katanya, dia juga akan berjumpa dengan semua jurulatih yang sudah tamat kontrak bagi membincangkan isu-isu lain berkaitan kontrak sebelum menawarkan kontrak baharu kepada mereka.
“Saya juga sudah mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan dan mereka bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan tetapi saya tidak akan menjelaskan secara terperinci mengenai perubahan struktur ini.

“Saya juga sudah meletakkan sasaran kepada para pemain tetapi masih belum membincangkan sasaran secara terperinci kepada jurulatih dan perkara ini akan di­selaraskan semula selepas ini.
“Ahli majlis juga sudah bersetuju dengan cadangan kenaikan gaji di dalam kontrak baharu kesemua jurulatih, jadi saya akan bertemu de­ngan jurulatih sama ada Isnin atau Selasa ini bagi menyelesaikan isu kontrak ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini semalam.

Frost berkata, kesemua jurulatih akan diberikan kontrak baharu selama dua tahun tetapi pencapaian mereka akan dinilai setiap enam bulan dan sekiranya mereka gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, notis pemberhentian tiga bulan akan diberikan kepada mereka berbanding sebulan sebelum ini.

Katanya, notis tiga bulan itu dilihat lebih adil sekiranya mereka ingin mencari pekerjaan baharu selain memberinya cukup masa untuk mencari pengganti baharu.


UTUSAN

No comments:

Post a Comment