Monday, March 02, 2015

Atlet Dinasihatkan Lebih Berwaspada Dengan Cuaca Panas - ISN


KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Atlet yang beraksi dan menjalani latihan dalam keadaan cuaca panas adalah terdedah kepada risiko tekanan haba dan strok haba, menurut Institut Sukan Negara (ISN).

ISN dalam kenyataan hari ini berkata tekanan haba boleh menyebabkan spektrum penyakit bermula daripada ringan, semakin teruk sehingga kepada keadaan lebih serius seperti keletihan haba dan strok haba.

Strok haba, satu bentuk penyakit serius berkaitan haba, adalah salah satu daripada tiga punca utama kematian dalam kalangan atlet, namun penyakit haba itu boleh dicegah.

"Apabila atlet berlatih, suhu badan adalah tinggi dan badan berpeluh dan menyejukkan untuk menurunkan sendiri suhu badan. Semasa proses ini, cecair badan dan juga elektrolit penting hilang.

"Jika badan tidak diisi semula dengan cecair dan elektrolit, dehidrasi boleh berlaku dan meningkatkan risiko penyakit haba seperti strok haba," menurut kenyataan itu.

Tanda-tanda penyakit haba termasuk seram sejuk, air kencing berwarna gelap, mulut kering, sakit kepala, dahaga dan lemah.

Jika penyakit haba berterusan, tanda-tanda lebih serius seperti kesukaran bernafas, suhu badan meningkat kepada tahap berbahaya, kekejangan otot, loya dan berasa kebas pada kaki dan tangan serta boleh menyebabkan kematian.

Kebanyakan mereka yang terjejas adalah atlet olahraga yang perlu menjalani latihan dalam keadaan trek yang panas.

Jurulatih pecut negara K. Jayabalan, bagaimanapun berkata keadaan cuaca panas tidak mengganggu jadual dan latihan atlet bagi menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura pada Jun.

"Setakat ini, semua atlet dalam keadaan baik, ISN telah memberi nasihat dan memantau atlet untuk menjaga kesihatan mereka, atlet juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar. Saya tidak mahu keadaan ini memberi kesan kepada persediaan untuk Sukan SEA akan datang," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, jurulatih skuad hoki negara Tai Beng Hai berkata walaupun pemain terpaksa menjalani latihan dalam keadaan cuaca panas sekarang, kesemua mereka dalam keadaan baik.

Pasukan hoki kebangsaan akan beraksi dalam beberapa perlawanan di Australia dari 3 hingga 17 Mac.

Jelajah Australia itu adalah persiapan skuad 'The Malaysian Hockey Tigers' untuk menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2015 di Perak dari 5 hingga 12 April, serta pusingan ketiga Liga Hoki Dunia di Belgium pada Jun, yang merupakan kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment