Tuesday, February 10, 2015

Sukan Layar Mampu Rangkul Pingat Olimpik Dalam Tempoh 10 Tahun - Khairy


JOHOR BAHARU, 9 Feb (Bernama) -- Malaysia mempunyai potensi merangkul pingat dalam acara pelayaran pada temasya Sukan Olimpik dalam tempoh 10 tahun akan datang berikutan kemajuan positif oleh pelayar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata pencapaian dalam sukan itu memberangsangkan bukan sahaja di peringkat Sukan SEA malah dalam Sukan Asia.

"Sebagai negara maritim, saya mahu Malaysia menjadi pencabar serius dalam sukan pelayaran. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh menggunakan tradisi ini untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam sukan ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Piala Monsun di Danga Bay di sini, pada Isnin.

Majlis pelancaran Piala Monsun disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Turut hadir isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut serta Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, yang juga Pengerusi Innovatige Sdn.Bhd, syarikat penganjur Piala Monsun.

Khairy berkata walaupun ia akan memakan masa lebih lima tahun untuk merangkul pingat Sukan Olimpik namun beliau yakin Malaysia boleh menjadi pencabar serius dengan program pembangunan sukan kapal layar yang berterusan.

"Kementerian ingin bekerjasama dengan Persatuan Kapal Layar Malaysia untuk meletakkan Malaysia di peta pelayaran antarabangsa dan adalah penting bagi kami menganjurkan Piala Monsun bagi meningkatkan kesedaran," katanya.

Bagaimanapun, katanya, selain Terengganu dan Langkawi, pemilihan Johor sebagai salah satu venue Piala Monsun telah memperkenalkan negeri itu sebagai lokasi yang sesuai untuk perlumbaan kapal layar antarabangsa.

Bagi menyokong terus pembangunan sukan itu, kementerian telah memperuntukkan RM8 juta untuk menaik taraf kemudahan pusat kecemerlangan sukan kapal layar di Langkawi, katanya.

"Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada persediaan kita untuk menjadi tuan rumah kejohanan kapal layar belia antarabangsa Disember ini dan juga Sukan SEA 2017," katanya.

Mengulas kejayaan Malaysia muncul juara Sepak Takraw Siri Super ISTAF Malaysia 2015 semalam, Khairy meningatkan skuad negara supaya kemenangan 2-0 ke atas musuh tradisi Thailand itu dijadikan sebagai permulaan untuk kejayaan konsisten pada masa depan.

"Banyak kali Thailand mengalahkan kita...jadi kita perlu menunjukkan sedikit konsisten dalam kejohanan akan datang.

"Saya cabar Persatuan Sepak Takraw Malaysia supaya menang pingat emas Sukan SEA 2017 di Singapura, Jun ini," katanya.

Kemenangan ke atas Thailand merupakan kali pertama skuad negara selepas Sukan SEA di Manila pada 2005.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment