Thursday, February 12, 2015

"Saya Akan Dapatkan Penjelasan Beasley Tentang RM21,000" - Naim

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley, berhubung hutang berjumlah RM21,000 yang belum diselesaikan.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata seperti yang beliau sedia maklum, semua pembayaran kepada jurulatih dari Australia itu telah dijelaskan pada 2012 iaitu melibatkan perbelanjaan tambahan hampir RM12,000 semasa skuad berbasikal trek menyertai Piala Dunia di Astana, Kazakhstan dan Colombia.

"Saya akan hubungi John untuk dapatkan maklumat dulu mengenai hutang RM21,000 melibatkan perbelanjaan apa. Saya siasat dulu. Kalau betul tuntutan itu belum dilunaskan, kita perlu bayar balik.

"Setahu saya perkara bayaran ini sudah diselesaikan, dan dah tidak ada apa-apa berbangkit sejak beberapa tahun dan kini, ia kembali semula. Kalau ada apa-apa bayaran yang belum diselesaikan, mungkin itu yang di luar pengetahuan saya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung isu hutang berjumlah RM21,000 yang belum dijelaskan oleh PKBM kepada jurulatih pasukan trek kebangsaan itu.

Naim berkata Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab juga tidak memaklumkan kepada beliau mengenai pertemuan dan perbincangan yang diadakan dengan Beasley di Korat, Thailand baru-baru ini.

"Alih-alih keluar kenyataan PKBM telah menyalurkan semua sumber kewangan kepada Yayasan Sime Darby (YSD) Track Team yang memang diuruskan oleh saya sendiri. Macam hendak tuduh saya pula ambil duit RM21,000," katanya.

PKBM dalam kenyataan hari ini, menafikan masih berhutang kepada jurulatih negara itu, sebaliknya telah menyalurkan segala wang atau dana kepada pengurus pasukan YSD Track Team yang dipegang Naim.

Dalam pada itu, Naim meminta semua pihak tidak mengaitkan penaja dalam perkara itu kerana ia boleh menjejaskan nama baik penaja itu sendiri di samping boleh menjejaskan hasrat mereka meneruskan penajaan kepada pembangunan sukan berbasikal trek pada masa akan datang.

Menurut Naim, peruntukan daripada penajaan untuk kelayakan Olimpik 2012 adalah sebanyak RM2 juta, manakala untuk kelayakan Olimpik 2016 sebanyak RM2.58 juta.

Katanya segala pembiayaan untuk skuad berbasikal trek negara dibuat berdasarkan tuntutan yang dibuat dan merangkumi beberapa perkara di bawah syarat penajaan yang telah dipersetujui sebelum ini.

"Jangan heret penaja dalam perkara ini. Orang menaja kita untuk dapatkan nama baik dan tidak mahu diheret kalau ada pertelingkahan dalaman.

"Bukan senang kita nak dapatkan penaja untuk pembangunan sukan berbasikal trek. Jangan nanti, orang atau syarikat dah tidak mahu dekat dengan kita sebab tidak pandai urus RM21,000 apatah lagi nak bagi peruntukan berjuta-juta," katanya.

Naim berharap segala kekusutan yang timbul itu tidak menjejaskan nama baik persatuan dan seelok-eloknya diselesaikan secara perbincangan.

PKBM sebelum ini terselamat daripada penggantungan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 26 Jan lepas, atas dakwaan berlakunya penyelewengan dalam mengendalikan peruntukan untuk pembangunan skuad berbasikal lebuh raya.

Berikutan itu, badan induk sukan berbasikal negara itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan untuk memilih jawatankuasa eksekutif persatuan berkenaan pada 26 Mac depan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment