Wednesday, February 04, 2015

Rebut jawatan asal: Azmi



Kuala Lumpur: “Saya tiada niat untuk mencabar, hanya mahu kembali kepada jawatan asal.”
Demikian jawapan Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad yang menyatakan tujuan utama bertanding merebut kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, 13 Februari ini.

Dilihat cuba mencabar penyandang jawatan Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah yang turut bertanding mempertahankan kerusi itu, Nur Azmi bagaimanapun menafikannya.

“Saya cuma mahu kembali kepada jawatan asal yang pernah diberikan kepada Timbalan Presiden sedia ada sekarang.

“Lagipun, saya mendapat pencalonan daripada ahli gabungan, saya mengikuti kehendak mereka,” katanya.

Ditanya kebimbangan tiada suara untuk skuad hoki wanita negara sekiranya beliau memenangi kerusi Timbalan Presiden, Nur Azmi berkata, beliau sudah memberikan layanan sama rata baik kepada pasukan lelaki mahupun wanita ketika menggalas jawatan sekarang.

“Ketika isu skuad hoki lelaki dan wanita diletakkan dalam kategori B pada Sukan SEA lalu, saya pertahankan kedua-duanya.

“Tidak timbul isu saya lebih memihak kepada pasukan lelaki,” katanya.

Nur Azmi pernah menggalas tugas selaku Timbalan Presiden ketika badan induk itu dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Hoki Malaysia (PHM).

Bagaimanapun penggabungan antara PHM serta Persatuan Hoki Wanita Malaysia kepada MHC menyaksikan tugas Nur Azmi beralih kepada Naib Presiden Kanan sementara Raja Puan Sri Noora Ashikin selaku Timbalan Presiden.





Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment