Tuesday, February 17, 2015

Ramai mahu bantu Malaysia




KUALA LUMPUR - Permohonan bagi jawatan Pengarah Teknikal Berprestasi Tinggi Program Podium yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini bagaikan ‘pisang goreng panas’ berikutan mendapat sambutan luar biasa.

Perkara tersebut didedahkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memberitahu, terlalu ramai calon memohon jawatan berkenaan hingga memerlukannya membuat penelitian rapi sebelum memilih individu sesuai.

Malah, Khairy turut menjelaskan, kebanyakan calon yang memohon adalah dari luar negara dan salah seorang daripadanya adalah Damien Kelly dari Australia.

“Damien Kelly ini pernah mempunyai pengalaman sebagai Pe­ngarah Teknikal dan ada calon lain dari luar negara.

“Dr. Brian Miller (Konsultan Berprestasi Tinggi Australia) pula tiada dalam senarai permohonan.

“Saya sendiri akan menemuduga semua calon tersebut dalam satu atau dua minggu lagi dan akan menilai sebaiknya calon sesuai sebelum melantik,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran kejohanan Pertarungan Seni Mempertahankan Diri Campuran Inovasi Malaysia (MIMMA) musim ketiga, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo. 

Program Podium diperkenalkan untuk mencapai misi merangkul pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.

Malah, melalui program itu juga Malaysia berharap dapat menempatkan diri dalam kedudukan 10 terbaik pada Sukan Asia dan Komanwel. 

Sementara itu, Khairy membe­ritahu, penstrukturan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menjayakan Program Podium dijangka memerlukan bajet yang besar, namun masih di peringkat penelitian.

Kata Khairy, banyak jawatan diperlukan dalam ISN terutama berkaitan pakar dalam sukan dan bajet yang diperlukan juga bergantung kepada jumlah atlet yang turut serta dalam Program Podium.

“Buat masa ini saya lihat ISN terlalu banyak pegawai dalam pentadbiran dan ia memerlukan penstrukturan semula untuk menambah lebih ramai pakar.

“Saya akan minta KSU (Ketua Setiausaha KBS) meneliti perkara ini sebelum keputusan dibuat berkaitan bajet,” katanya.




ZAZALI JAMIAN  - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment