Friday, February 13, 2015

Program Podium Ke Arah Hadapi Sukan Olimpik 2020


KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Program Podium melibatkan atlet terbaik negara adalah program pembangunan dan persediaan atlet untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, dan merupakan program lanjutan kepada projek 'Road to Rio', kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata atlet yang terpilih untuk menyertai program di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) itu akan dilayan seperti bintang sukan dunia dengan semua keperluan fizikal mereka diuruskan sepenuhnya.

"Program Podium ini tidak melibatkan jumlah atlet yang ramai dan ia juga bukan tertumpu kepada 19 jenis sukan teras. Kita akan masukkan mana-mana atlet daripada bukan sukan teras yang dilihat mampu menaikkan nama di peringkat dunia.

"Mereka ini merupakan atlet terpilih dan kumpulan terpilih. Kalau berjaya masuk program ini, mereka akan dilayan se[perti juara dunia,"katanya kepada pemberita selepas membentangkan Modul Sukan Baharu Malaysia, di sini Khamis.

Katanya pihaknya masih menaruh harapan bahawa skuad badminton negara yang berada dalam program 'Road to Rio' mampu menjadi sandaran penyumbang pingat emas utama negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Bagaimanapun, Khairy berkata kemampuan Malaysia untuk meraih lebih pingat emas pada temasya Olimpik di Brazil masih samar namun menaruh keyakinan tinggi bahawa Malaysia berpeluang cerah meraih emas di Tokyo sekiranya program Podium ini dilaksanakan mengikut perancangan.

"Jelas kita mempunyai peluang yang lebih baik di Tokya kerana pada masa itu, pelaksanaan program Podium lebih matang. Kalau kita ambil tempoh yang singkat, contohnya ke Rio, peluang dan harapan pingat emas masih terletak kepada badminton.

"Saya tidak fikir ada potensi emas dalam sukan lain di Rio buat masa sekarang kecuali atlet mempamerkan prestasi yang luar biasa," katanya.

Khairy berkata program Podium merupakan sebuah program yang dirangka, diperinci dan dilaksanakan ISN yang terkandung dalam modul sukan baharu Malaysia di bawah penstrukturan semula Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN.

Atlet-atlet terpilih di bawah program itu akan dibantu dengan rapi dari segi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan yang dirangka spesifik untuk setiap atlet dan kumpulan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment