Wednesday, February 18, 2015

Pengarah Sukan Berprestasi Tinggi Bebas Kepentingan Di KBS - Khairy

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pengarah Sukan Berprestasi Tinggi (PSBT) yang bakal dilantik merupakan individu yang tidak mempunyai kepentingan dalam agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kata menterinya Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata calon terpilih bertindak sebagai penasihat kepada beliau dengan memantau keberkesanan program yang dijalankan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau berkata PSBT turut berfungsi membuat pengauditan ke atas dua badan sukan berkenaan memandangkan kementerian telah banyak menyalurkan dana kepada agensi-agensi tersebut.

"Sekiranya saya mengambil individu daripada MSN atau ISN, saya tidak mendapat gambaran sebenar dan beliau (PSBT) kena buat pemantauan yang rapi.

"Kita perlu ada (PSBT) kerana kita risau banyak duit sudah dibelanjakan kepada MSN serta ISN dan kita hendak pastikan ada pengauditan yang betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rakan Muda baharu di sini, hari ini.

Khairy berkata calon terpilih akan diumumkan dalam tempoh sebulan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kepada individu berkenaan akan ditetapkan selepas pengumuman tersebut.

Isnin lepas, Khairy mengumumkan pengenalan jawatan tersebut selaras dengan penstrukturan semula MSN dan ISN bagi memastikan kedua-dua agensi tersebut dapat memainkan fungsi dan peranan yang lebih berkesan.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment