Tuesday, February 17, 2015

Pakar sains sukan tunjang transformasi




Kuala Lumpur: Lebih ramai pegawai berlatar sains sukan akan menggantikan jawatan pegawai pentadbiran Institut Sukan Negara (ISN) menerusi penstrukturan baru.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penstrukturan baru itu akan dilaksanakan selepas perbincangan di peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ketua Setiausaha (KSU) Belia dan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) selesai. 

Menurutnya, beliau akan mengumumkan penstrukturan baru itu selepas perbincangan bersama KSU KBS Datuk Jamil Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Aziz dan dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Pengumuman itu nanti turut membabitkan jawatan serta bajet,” katanya semalam.
Penstrukturan semula MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) adalah langkah terkini dilaksanakan KBS bagi menjayakan proses transformasi sukan Malaysia. 

Pendekatan membabitkan pembangunan atlet berprestasi tinggi dibahagi kepada dua kumpulan iaitu pengurusan program dikendalikan MSN manakala ISN, pengurusan prestasi. 

“Kita perlu menyusun semula ISN kerana kini terlalu ramai pegawai bukan pakar sukan. ISN sepatutnya ada lebih ramai pakar sains sukan bukan pegawai pentadbiran.

“Proses baru termasuklah bajet lebih besar dan sebagainya sedang dilaksanakan. Saya sudah meminta KSU untuk mengetuai kumpulan untuk teliti bajet penstrukturan itu. 

“Dari segi bajet, kita akan lihat daripada keperluan sains sukan dan modul program.
“Saya bersama Ramlan dan Shapawi kini mengenal pasti untuk melihat siapa layak dimasukkan ke dalam program sekarang,” katanya. 

Khairy berkata, beliau juga akan mengumumkan pengarah teknikal sukan berprestasi tinggi dalam masa terdekat.

“Saya akan menemuramah beberapa calon dalam masa satu atau dua minggu ini. Kita menerima banyak permohonan dari luar negara. Saya akan menilai siapa paling layak,” katanya.



No comments:

Post a Comment